PUTRAJAYA – Lebih 150 rakan media diraikan pada Majlis Bersama Media anjuran Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.

Majlis dihadiri lebih 20 ketua organisasi media tempatan, termasuk ahli Lembaga Pengarah Universiti, ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti dan Dekan-dekan fakulti.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor dalam ucapannya berkata, majlis ini adalah sebagai tanda terima kasih kepada pihak media yang selama ini telah memberi sokongan padu dan tanpa jemu terutamanya terhadap program-program, isu-isu dan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh USIM terutamanya dalam misi menghasilkan ilmuwan, pemimpin dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai luhur agama dan budaya demi kesejahteraan sejagat selari dengan falsafah pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli.

Sementara itu, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti menekankan integrasi unik universiti ini adalah antara sains Islam dan kontemporari, dengan penekanan pada sembilan fakulti dan inisiatif utama seperti Pusat Penyelidikan Ibnu UMMI Maktum, Klinik Pergigian Bergerak, dan KLiP Mobile. Beliau percaya bahawa majlis ini akan memperkukuhkan kerjasama antara media dan USIM dan beliau percaya bahawa dengan kerjasama media dapat membantu dalam menonjolkan model pendidikan unik USIM dan pencapaiannya, sekaligus dapat mempromosikan sumbangan universiti ini kepada komuniti tempatan dan global. Kerjasama ini penting untuk memupuk pertumbuhan dan kefahaman bersama, dan untuk memastikan kerja-kerja berimpak tinggi USIM dapat sampai kepada audiens dengan lebih meluas.

Selain itu, majlis turut melancarkan Dokumentari Pendek USIM sebagai tanda penghargaan khas kepada pelajar dan staf Palestin di USIM bertajuk “The Great Sacrifice”.

Dokumentari ini menceritakan pengorbanan dan perjuangan yang dilalui oleh tiga orang pelajar dan staf Palestin di USIM dalam usaha meneruskan pengajian dan menyampaikan ilmu dan di USIM.

USIM merupakan Universiti Awam (UA) yang mempunyai pelajar Palestin paling ramai iaitu sebanyak 135 orang.

Pada majlis ini juga sepuluh pempengaruh yang terdiri daripada Alumni USIM dilantik sebagai duta universiti dalam usaha menyebarluaskan jenama universiti kepada pemegang taruh dan masyarakat di luar.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran pemain industri seperti Datuk Yusof Haslam yang merupakan CEO@Faculty di USIM dan juga persembahan istimewa dari Pusat Ibnu Ummi Maktum (UMMI) iaitu Nasyid Tanpa Suara.