JOHOR BAHRU – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kenangan manis apabila meraih Anugerah People’s Choice Award dan Gold Medal Award melalui karya Filem Pendek bertajuk TempaYAN dalam pertandingan antarabangsa Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 5 September 2025 baru-baru ini.

Lebih membanggakan, filem pendek tersebut turut membawa pulang Tempat Ketiga Kategori Filem Pendek, menjadikan USIM sebaris dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku juara dan Universiti Multimedia (MMU) sebagai naib juara.

Kejayaan USIM tidak terhenti di situ apabila turut menerima Outstanding Booth Experience Award serta menamatkan saingan di kedudukan tempat Keempat eVarsity Cup Mobile Legends, sekali gus menzahirkan kepelbagaian bakat pelajar USIM dalam bidang media digital kreatif dan e-sukan.

Penghasilan karya filem pendek ini melibatkan seramai 12 kru pelajar Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) bersama 10 pelakon cilik dari Kolej Permata Insan yang mengisahkan perjalanan seorang ibu yang merentas memori dan penyesalan demi menemukan anaknya, Yan, yang hilang di sisi sebuah tempayan lama, yang menjadi simbol kasih seorang ibu yang tidak pernah padam.

Pengarah projek, Ahmad Idham Jumaat, 22, pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) berkata, karya ini menampilkan pendekatan filem pendek muzikal dengan interpretasi baharu terhadap lagu ‘Itulah Sayang’ ciptaan P. Ramlee, digubah semula oleh Adika Hakmi yang menggabungkan genre flamenco dengan jujukan kord dalam phyrgian scale.

Pencapaian itu membuktikan kemampuan warga USIM khususnya pelajar untuk bersaing di pentas antarabangsa walaupun berdepan pelbagai kemahiran dan cabaran.

USIM Rangkul Anugerah People’s Choice dan Gold Medal di DICE 3.0

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas usaha semua krew dan pegawai yang terlibat, kerana ini merupakan karya sulung kami dan cabarannya amat besar kerana perlu menguasai semua aspek produksi. Namun, atas kesungguhan dan sokongan padu dari pengurusan universiti menjadi kekuatan utama sehingga kami berjaya mencipta kemenangan yang amat bermakna ini,” katanya.

Kemenangan sulung StraComm Clique di DICE 3.0 ini menyerlahkan komitmen USIM dalam melahirkan graduan seimbang dari segi ilmu, bakat dan kepimpinan, sekali gus memperkukuh kedudukan universiti di persada antarabangsa.

Dice 3.0 yang berlangsung di Persada International Convention Center, Johor Bahru, dari 2 hingga 4 September ini menghimpunkan penyertaan 320 pelajar dan pensyarah seluruh Malaysia termasuk Brunei, Thailand dan Indonesia. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini