SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Seksyen Latihan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar telah mengambil inisiatif menganjurkan program khidmat masyarakat bersama penghuni Rumah Seri Kenangan, Seremban pada 14 Julai 2025 baru-baru ini, sebagai usaha menyemai nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti.

Program Transformasi Minda (PTM) 2025 yang melibatkan seramai 33 peserta serta enam orang staf Jabatan Pendaftar ini telah dijalankan dengan penuh semangat kesukarelawanan dan keprihatinan. Ia turut mendapat sokongan padu daripada pengurusan Rumah Seri Kenangan yang diketuai oleh Puan Salwah Saleh selaku Penguasa Rumah.

Menurut Encik Nasrul Hakim Ahmad, Ketua Jabatan Pendaftar USIM, program ini adalah manifestasi tanggungjawab sosial universiti terhadap komuniti dan juga sebahagian pendekatan latihan luar bilik darjah yang memberi ruang kepada peserta PTM untuk menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

“Kami ingin melahirkan penjawat awam muda yang bukan sahaja cekap dalam tugas, malah kaya dengan nilai kemanusiaan. Hubungan akrab antara universiti dan komuniti inilah yang mencerminkan roh USIM sebagai institusi Islam yang menyantuni masyarakat,” ujar beliau.

Para peserta dibawa meninjau persekitaran rumah kebajikan sebelum menyertai pelbagai aktiviti interaktif bersama warga emas.

Antara aktiviti utama adalah Sesi “Santun Kasih” bersama warga emas yang terlantar, penanaman bunga berwarna merah sebagai simbol kasih sayang dan penghargaan di sekitar rumah kebajikan, dan sesi ramah mesra dan sembang santai bersama penghuni sebagai terapi sosial dan emosi.

Momen menyentuh hati ini memberikan pengalaman mendalam kepada para peserta yang rata-ratanya pertama kali menyertai program sebegini. Ia sekaligus mendidik mereka tentang pentingnya menjaga kebajikan dan memberi perhatian kepada golongan warga emas yang sering terpinggir dalam masyarakat.

Sebagai tanda keprihatinan, USIM turut menyampaikan beberapa sumbangan keperluan harian kepada pihak Rumah Seri Kenangan. Antaranya adalah 1 katil khas pesakit, 2 buah kerusi roda, 2 unit kerusi tandas (commode chair), lampin pakai buang, anak pokok hiasan, makanan dan buah-buahan. Sumbangan telah diserahkan oleh Encik Nasrul Hakim kepada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Puan Maimunah Mohamad Nasir, dan Puan Salwah Saleh mewakili Rumah Seri Kenangan.

Program khidmat masyarakat ini sejajar dengan misi USIM dalam melahirkan graduan dan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan pentadbiran, tetapi juga tinggi nilai insaniahnya. Penganjuran program seperti ini akan terus diperluas sebagai platform latihan holistik kepada penjawat awam muda di bawah Program Transformasi Minda.

Semoga usaha murni ini memberi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama menyantuni dan menghargai golongan emas dalam masyarakat kita.