KUALA NERUS– Seramai 47 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyantuni masyarakat Kampung Tanjung Sabtu, DUN Buluh Gading menerusi program USIM Street Clinic: Program Bakti Siswa Chapter Terengganu yang berlangsung pada 12 Mei 2025 baru-baru ini.

Program anjuran Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA USIM) serta sokongan Pusat Kesihatan USIM itu berjaya menghimpunkan 19 mahasiswa U3P dan 28 ahli PERMATA USIM untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat luar bandar.

Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, penyampaian bakul rahmah, ziarah rumah, gotong-royong memasak bubur dan membersihkan kawasan kampung, aktiviti sukaneka bersama kanak-kanak serta kuliah maghrib bersama penduduk.

Menurut ADUN Buluh Gading, YB Ustaz Ridzuan Hashim, inisiatif sebegini amat dialu-alukan kerana memberi impak positif kepada komuniti dan membentuk peribadi pelajar yang prihatin dan cakna terhadap keperluan masyarakat.

Pengarah Program juga selaku presiden U3P, Nurul Wahidah Sallehudin berkata penganjuran program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk merasai sendiri suasana kehidupan desa, selain mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, empati dan kepimpinan.

“Kami berdepan cabaran seperti perubahan tentatif saat akhir dan hujan lebat yang menjejaskan beberapa aktiviti, namun pelajar berjaya menyesuaikan diri dan program tetap berjalan lancar dengan sambutan baik daripada penduduk kampung,” ujarnya.

Jelas beliau, program ini bukan sahaja menghubungkan mahasiswa dengan masyarakat setempat, malah membuka ruang kepada pelajar untuk menyumbang jasa kepada komuniti.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini