NILAI, 16 OGOS – Sistem kewangan dan perbankan Islam semakin diterima oleh pemain industri kewangan dan berkembang dengan pantas diperingkat global yang menjadikan permintaan kepada tenaga pakar dalam bidang ini semakin tinggi. Melihat kepada kualiti program akademik yang ditawarkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam bidang perbankan Islam telah menarik minat Majan College (University College), Oman untuk bekerjasama.

Justeru itu, baru-baru ini satu Majlis Menandatangani  Perjanjian Persefahaman (Memorandum of Understanding) antara USIM dan Majan College (University College), Oman telah diadakan bertempat di Bangunan Canselori USIM.

Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail dan Pendaftar, Encik Muhammad Haizuan Rozali bagi pihak USIM dan Majan College (University College) diwakili oleh Dekannya, Dr. Maha Kobeil dan Madam Nabila Al Macki.

Melalui MoU ini, dua (2) program akademik yang dirangka oleh Fakulti Ekonomi dan Mualamat (FEM) USIM iaitu Master of Islamic Banking and Finance dan Executive Course Course in Islamic Banking and Finance of CEO of Bank akan ditawarkan secara offshore oleh Majan College (University College) di Oman.  Dua program yang akan ditawarkan ini akan dapat memenuhi permintaan yang tinggi untuk program berteraskan Perbankan dan Kewangan Islam di sana.

“Projek ini sebagai satu pendekatan positif kepada kedua-dua institusi bagi meluaskan jaringan usahasama akademik diantara Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia dan Oman, pada masa yang sama ia menjadi bukti USIM sememangnya mengambil langkah yang proaktif untuk membawa program pengajiannya ke peringkat antarabangsa,” ujar YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail.

Tambahnya lagi “Adalah diharapkan agar usahasama ini akan memberi manfaat dan memberi impak positif bukan sahaja kepada kepada pembangunan ilmu malah kepakaran ummah dapat ditingkatkan untuk memudahkan pelaksanaan agenda seterusnya  secara bersama”.

MoU yang ditandatangani ini juga merupakan hasil kunjungan muhibah Pengurusan Universiti ke Majan College (University College) semasa lawatan kerja ke Oman sebelum ini.  Pemilihan USIM sebagai rakan strategik kepada Majan College (University College) ini juga di cadangkan sendiri oleh Atase Pendidikan Oman ke Malaysia, Dr. Khamis Al-Bulushi.

Turut hadir dalam majlis ini adalah  YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademi & Antarabangsa), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) dan YBhg. Prof. Dr. Hajah Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) bersama Ketua-ketua Jabatan dan Dekan Fakulti.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

Penolong Pendaftar StraComm