BANJUL, 27 Nov 2016 – Lawatan Kerja USIM ke Gambia telah diadakan bagi meluaskan lagi jaringan kolaborasi USIM dengan institusi-institusi di Gambia dalam bidang Program Pengajian Islam dan Eksekutif Halal. Lawatan tersebut diketuai oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta Mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah yang berada di sana selama lima hari bermula 26 – 30 November 2016 di Banjul, ibu Negara bagi Gambia.

Hasil bantuan daripada Duta Gambia di Malaysia, TYT Mr. Abubacarr Jah, USIM telah mengadakan lawatan ke 16 institusi di Gambia termasuk University of The Gambia (UTG), Gambia Investment Export and Promotion Agency (GiEPA), Gambian Chamber and Commerce Industry (GCCI), Talinding & Tadamun Islamic School, Ministry of Higher Education, Research, Science & Technology, National Accreditation & Quality Assurance Authority (NAQAA), Arab Gambia Islamic Bank (AGIP), Ministry of Foreign Affairs (MOFA) dan beberapa agensi lain lagi.

Lawatan ini bertujuan untuk mempromosikan USIM di Negara Gambia khususnya dalam bidang Pengajian Islam dan Sains bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Gambia seterusnya membantu masyarakat untuk memajukan lagi Negara. Menerusi lawatan tersebut, USIM berhasrat untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Negara Gambia menerusi NAQAA bagi membolehkan USIM membuka kampus cawangan di Gambia serta mengurangkan kos bagi perjalanan pelajar ke Malaysia.

Di samping itu, menerusi lawatan ke GiEPA, GCCI, AGIP dan The Gambia Bankers Association, USIM turut berhasrat untuk mengadakan Program Eksekutif Halal bagi meningkatkan lagi keupayaan dan ilmu kepada masyarakat Gambia dalam pengurusan Halal samada dari sektor pemakanan mahupun industri.

Dalam lawatan tersebut, USIM telah mengadakan kunjungan ke The University of the Gambia (UTG) dan telah bertemu dengan Profesor Dr. Faqir Mohammad Anjum Chaudhry Vice Chancelor UTG. Menerusi perbincangan tersebut, pihak UTG telah bersetuju untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama USIM dalam kolaborasi penawaran program joint-degree Perubatan dan Pergigian USIM, program pemindahan kredit Bioteknologi Makanan serta bakal menjemput Naib Canselor USIM ke Seminar yang akan diadakan oleh UTG pada bulan Mac 2017.

Selain itu, menerusi lawatan USIM ke IOU turut membuka peluang kepada USIM untuk melebarkan sayap bagi program-program pengajian sepanjang hayat dibawah Bahagian Madal Hayah USIM dengan berkonsepkan pendidikan fleksibel yang boleh diakses dimana-mana, pada bila-bila masa oleh sesiapa sahaja.

Paling menarik, USIM sempat untuk melihat secara langsung proses pilihanraya Gambia yang telah berlangsung pada 1 Disember 2016 dengan penuh kemeriahan oleh rakyat. Lawatan tersebut berakhir dengan sesi pertemuan USIM dengan Konsultan daripada World Bank dan USIM berhasrat untuk bekerjasama dalam proses penambahbaikan kurikulum pendidikan sekolah di Gambia.

 

Disediakan oleh:
Faizudin bin Ahmad

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204