NILAI, 4 Dis – Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW), Universiti Sains Islam Malaysia telah berjaya menganjurkan Diskusi Meja Bulat antara USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan tema Peningkatan Kesedarandan Pembangunan Projek Wakaf.

Program yang telah dijalankan di Dewan Senat, Bangunan Canselori pada 4 Disember 2014 ini telah menarik minat seramai 60 orang peserta yang meliputi pelbagai agensi dan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam Negeri Johor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)dan Yayasan Universiti Multimedia.

Program yang diadakan selama sehari ini telah menjemput tokoh korporat, Y.Bhg. Tan Sri Muhammad Ali Hashim, yang merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sebagai pemberi ucaptama dengan tajuk “Global Resurgence of Interest on Waqf: Locking Opportunities”. Antara pembentang-pembentang lain adalahY.Brs.Tuan Haji Mohammad Sahar Mat Din, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA ;Y.Brs.Hj. Mohammad Shamsul Azhar Mohd Yusof, Pengarah Islamic Endowment Fund IIUM; Y.Brs. Prof. Madya Dr. Asma Abdul Rahman, Penyelaras PPPW danY.Brs. Dr. Fuadah Johari, Penyelaras PPPW.

Bengkel ini diadakan adalah untuk mengenalpasti kaedah memasyarakatkan budaya bersedekah, “culture of giving”. Selain itu,objektif diskusi meja bulat ini adalah untuk mengenalpasti cabaran dan jalan penyelesaian dalam mengaplikasikan pengurusan wakaf di Institut Pengajian Tinggi di Malaysia.

Pengarah PPPW, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Haji Alias telah mempengerusikan sesi Diskusi Meja Bulat disebelah petang yang membincangkan temaPeningkatan Kesedaran dan Pembangunan Projek Wakaf. Banyak persoalan dan input telah dikemukakan oleh peserta Diskusi Meja Bulat ini. Antara pandangan yang disampaikankan; Islam memberi dua institusi istimewa iaitu institusi zakat dan institusi wakaf. Zakat menyelesaikan masalah sumber manusia manakala wakaf membangunkan budaya dan tamadun.

Peserta bersetuju tentang pentingnya diadakan kempen meningkatkan kesedaran untuk berwakaf. Mengambil contoh amalan berwakaf di Turi, kesedaran untuk berwakaf ini mula diterapkan dikalangan murid-murid disekolah lagi. Pendekatan yang asas adalah menerangkan kepada kumpulan sasaran manfaat wakaf ini bukan di dunia sahaja tetapi hingga ke akhirat.

Adalah harapan kita semua Diskusi Meja Bulat ini dapat member impak positif di samping menggalakkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang budaya berwakaf.

Disediakan oleh:

Norhaida Abd Shukor
Penolong Pendaftar PPPW.