NILAI, 13 Dis. – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengungguli Pertandingan Mahkamah Mut Syariah (PMMS) Peringkat Kebangsaan 2011 apabila muncul sebagai pasukan terbaik dalam pertandingan yang diadakan di USIM baru-baru ini.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan USIM yang diwakili oleh mahasiswa dari Fakulti Syariah Undang-Undang menerima wang tunai RM5,000 beserta piala.
Pertandingan ini adalah anjuran USIM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia (MATDUM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Sementara itu, penuntut Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula dianugerahkan Hujahan Bertulis Terbaik sekaligus membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala.
Dalam pertandingan tersebut, Saudari Syamimi Abdul Rahman, penuntut di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dinobatkan sebagai Penghujah Terbaik dan menggondol hadiah wang tunai RM1,500 bersama piala.
Pertandingan dua hari itu telah disertai oleh tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) antaranya USIM, UKM, UIAM, Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Majlis penutup PMMS 2011 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia mewakili Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Dalam pada itu, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda ketika berucap pada penutup pertandingan tersebut memberitahu, PMMS tahun ini sudah masuk kali kedua penganjurannya, di mana kali pertama ia diadakan adalah pada 2009.
“Dengan izin Allah, USIM akan terus menganjurkan PMMS pada tahun akan datang memandangkan pertandingan ini mendapat sokongan yang kuat dari pihak KPT, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Persatuan Peguam Syarie”.
Sumber: Utusan Malaysia