AFGHANISTAN, 7 Mac 2022 – Bagi melihat perkembangan semasa corak Pendidikan bagi warga belia khususnya di negara Afghanistan disambut baik apabila delegasi Malaysia megadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Pengajian Tinggi Sheikh Molvi Noorullah Munir di Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan baru-baru ini.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Dato’ Ahmad Azam Ab. Rahman iaitu Penasihat Khas mengenai Afghanistan, Kementerian Luar Malaysia Bersama-sama Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar, iaitu Pengarah Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan USIM (C4SS) merangkap Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Zin Kandar, kunjungan ini bagi mengambil peluang untuk mengenali lebih dekat lagi pengurusan Pendidikan yang dipimpin oleh Taliban, dan juga memberi peluang kepada kedua belah pihak untuk melihat kerjasama yang boleh dibangunkan dalam bidang Pendidikan.
“15 Ogos 2021 adalah tarikh bersejarah, selepas peperangan berakhir setelah hampir 20 dekad Afghanistan di takluk oleh Amerika Syarikat, dan kumpulan Taliban telah mula mengambil alih corak pemerintahan Afghanistan. Taliban telah dilaporkan oleh media antarabangsa, di mana mereka menghalang pelajar-pelajar perempuan untuk mendapatkan Pendidikan di sekolah dan universiti. Hakikatnya ia adalah tidak benar. Apa yang dilakukan adalah penyusunan semula di sekolah dan universiti bagi menepati peraturan Islam iaitu dengan mengasingkan pelajar-pelajar berlainan jantina”.
Lawatan ke beberapa universiti awam dan swasta di Afghanistan telah diadakan, dan sesi pembelajaran akan beroperasi seperti biasa bagi pelajar-pelajar lelaki dan perempuan pada awal Mac ini.
“Peluang kerjasama di kalangan universiti-universiti di Afghanistan dengan universiti di Malaysia akan diperhalusi oleh Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan agar ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dan pasca-siswazah di luar negara”, ujarnya lagi.
Selain itu, kunjungan Prof. Madya Dr Mohd Zin ke Afghanistan juga adalah sebagai mewakili Humaniterian Care Malaysia (MyCARE) bagi menyampaikan bantuan-bantuan kemanusiaan Afghanistan-Malaysia.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan