NILAI – 4 Mei 2024: Kursus Pengurusan dan Pemantapan Program Tunas Cekak Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Peringkat Kebangsaan 2024 berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) betempat Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan pada 4 Mei baru-baru ini. Program ini merupakan platform yang mampu mencegah masalah sosial dalam kalangan remaja serta mempromosikan USIM sebagai taman pengetahuan sekaligus mampu menjadikan insan yang berilmu dan berdisiplin selaras dengan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Seramai 200 orang ahli PSSCM dari seluruh negara yang hadir menyertai kursus ini bagi merealisasikan hasrat Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah, Guru Utama dan Presiden PSSCM untuk Seni Silat Cekak Malaysia terus berkembang ke seluruh negara melalui Program Tunas Cekak.
Komuniti Pembangunan Kurikulum Tunas Cekak Malaysia, PSSCM, Muhammad Ghazawi dalam ucapan beliau berkata, Kursus Pengurusan dan Pemantapan Program Tunas Cekak Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) Peringkat Kebangsaan 2024 merupakan sebuah program bertujuan untuk memupuk nilai kepimpinan dan memantapkan lagi aspek pengurusan dalam diri setiap ahli persatuan.
“Program ini memfokuskan khususnya kepada kanak-kanak berumur 7 tahun hingga 12 tahun dengan silibus yang berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara”.
Menurut beliau lagi, dengan adanya peluang membenarkan kanak-kanak atau remaja untuk belajar tentang ilmu silat ini membantu dalam proses pembentukan akhlak dan jati diri setiap remaja.
“PSSCM mengorak langkah membangunkan modul Tunas Cekak secara sistematik dan berstruktur bagi murid-murid seawal darjah satu. Silibus dan perancangan program Tunas Cekak menyediakan modul yang menyeluruh menekankan aspek pembangunan karakter dan kemenjadian murid berasaskan nilai-nilai murni,” katanya.
Ujarnya, kewujudan PSSCM membolehkan remaja mengisi masa mereka dengan perkara yang berfaedah dan USIM adalah salah satu platform yang mana membantu dalam merealisasikan tujuan maupun objektif program ini sendiri.
Sementara itu, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Datuk Hj Maideen bin Kadir Shah berkata, PSSCM telah memartabatkan ilmu warisan terdahulu dan menghakis pandangan negatif tentang silat oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Namun, menyedari bahawa terdapat juga sebahagian kecil amalan silat yang bercanggah dengan prinsip agama Islam, saya berharap JAKIM boleh bekerjasama dengan PSSCM untuk mendapatkan maklumat dan rujukan kepada segala amalan silat agar selari dengan kehendak syariat Islam,” katanya lagi.
Sumber:
Nur Khadijah Antasha binti Abd Rashid
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan