NILAI, 5 Februari 2014 – Suatu pencapaian yang membanggakan apabila Pusat PERMATA Insan telah berjaya merealisasikan hasrat membangunkan sebuah sekolah dalam kampus iaitu Kolej PERMATA Insan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memperkembangkan potensi minda bakat pelajar Islam pintar yang berbakat dalam suasana pembelajaran dan penyelidikan yang kondusif. Tanggal 13 Januari 2014 merupakan tarikh pemilikan tapak oleh kontrak utamanya iaitu Panji Maju Sdn. Bhd.
Sempena pembinaan Kolej PERMATA Insan, majlis doa selamat telah diadakan dengan kerjasama di antara Pusat PERMATA Insan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti dan Panji Maju Sdn. Bhd. Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan memohon keberkatan agar segala perancangan dan pelaksanaan projek ini dapat berjalan dengan lancar.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM, Pengurusan Tertinggi USIM, wakil semua Program PERMATA, wakil perunding-perunding pembangunan kolej dan turut hadir adalah YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan, Setiausaha Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak (PERMATA).
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yassin yang dipimpin oleh Ustaz Md Yunus Abd. Aziz dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FPQS) dan disusuli dengan ucapan oleh setiap wakil penganjur. Ybhg. Prof. Dato’ Naib Canselor dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas usaha dan sumbangan semua pihak dalam merealisasikan hasrat ini terutamanya kepada YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Program PERMATA.
“Saya berharap agar penubuhan Kolej PERMATA Insan di dalam kampus ini memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi di samping mempercepatkan proses kematangan dan pembelajaran. Ini ada seiring dengan usaha USIM bagi melahirkan para saintis, teknokrat, penyelidik, cendekiawan dan profesional Islam yang boleh dibanggakan berbekalkan ilmu Naqli(Wahyu) dan Aqli(Rasional) yang mantap sebagai satu usaha membawa Sains Islam ke persada dunia”.
Mengakhiri majlis adalah simbolik penanaman pokok di tapak pembinaan yang disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan dan YBhg. Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim. Pada masa yang sama, para tetamu jemputan kemudiannya dibawa melawat ke persekitaran kawasan tapak pembinaan.
Disediakan oleh :
Pusat Permata Insan
Dikemaskini oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)