PUTRAJAYA, 3 Dis. – Hari ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyaksikan lakaran sejarah tercipta pada Majlis Konvokesyen kesembilan dengan berlansungnya Istiadat Pemasyhuran Canselor yang baru sebagai Canselor kedua USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Turut berangkat ke Majlis ini, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Majlis Kovokesyen kali ini dimulai dengan Istiadat Pemasyhuran Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Perisytiharan pelantikan Canselor diumumkan oleh Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM mewakili Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi.

Baginda bertitah di dalam ucapanya, sistem pendidikan berteraskan ilmu Islam merupakan pemangkin kepada umat Islam terutamanya yang berada di rantau Asia Tengah. jaringan hubungan luar bersama negara Islam lain perlu diperkukuhkan supaya hasrat dan cita-cita tersebut terlaksana.

“Setelah lebih 10 tahun universiti ini membangun, ia telah menjadi salah satu institusi Islam yang disegani di rantau ini kerana graduan USIM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah dalam bidang kokurikulum.

“Kecemerlangan dalam bidang seperti perbahasan, kesenian dan kebudayaan Islam, sukan dan juga hubungan antarabangsa adalah satu tanda ukur bahawa USIM mampu mengorak langkah lebih maju ke hadapan dalam merealisasikan dasar pendidikan tinggi negara.

“Malahan, cendekiawan yang diasah oleh USIM juga mampu mengorak langkah ke peringkat global dan memperkenalkan pendidikan tinggi berasaskan ilmu naqli dan ilmu aqli,” titahnya.

Konvokesyen pada kali ini menyaksikan seramai 1,196 orang graduan berjaya dianugerahkan ijazah di dalam bidang masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian. Dalam pada itu, seluruh warga USIM menjadi saksi lahirnya kumpulan graduan pertama seramai 29 orang daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang telah melengkapkan pengajian bagi Program Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) dan juga graduan dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama bagi Program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) Dengan Kepujian seramai 72 orang.

USIM turut berbangga kerana Majlis Konvokesyen pada kali ini turut mengiktiraf dan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada bekas Ketua Hakim Negara iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Abdul Hamid Haji Mohamad.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Mohd Shahrul Faizie Bin Zaini telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang. Anak kedua dari 5 orang adik beradik ini menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai ini adalah hasil dorongan isteri, Noorsyuhada Mohamed Salleh, ibu, Noriza Othman, keluarga dan tenaga akademik di USIM yang tidak jemu-jemu memberi galakan serta semangat.

“Walaupun ada yang berkata bahawa sukar untuk membahagikan masa untuk belajar apabila sudah berkahwin, ia tidak akan berlaku selagi kita ikhlas dan komited terhadap sesuatu perkara,” tambah Shahrul yang juga merupakan wartawan penyiaran dan pengacara di Stesen TV ALHIJRAH.

Dalam pada itu, Muhamad Firdaus Ab. Rahman graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa turut menerima anugerah yang sama.

Beliau yang kini menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Malaya menegaskan bahawa graduan pengajian agama juga mampu bersaing dalam arus pembangunan negara.

“Saya merupakan anak kesembilan daripada 11 beradik dan hanya saya seorang memilih bidang pengajian agama. Alhamdulillah, berkat sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, saya berjaya menamatkan pengajian ini dengan cemerlang,” katanya.

Kedua-dua mereka menerima watikah, medal Pingat Jaya Cemerlang serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Sementara itu, Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Ummi Farhana Omar, manakala penerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor pula diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah, Mohd. Ashrafulnizam Abdul Wahab.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027/ 8028