NILAI, 28 DIS 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasakan peranannya dalam menyediakan program akademik yang bertunjangkan intgrasi ilmu Naqli dan Aqli melalui penubuhan fakulti baharu iaitu Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
Fakulti ini menjadi fakulti kesembilan ditubuhkan oleh USIM semenjak ia ditubuhkan oleh pada tahun 2000 sebagai Universiti Awam Ke-12.
“Berita gembira penubuhan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina ini diterima oleh Pengurusan Universiti melalui surat rasmi daripada Jabatan Pendidikan Tinggi baru-baru ini yang memaklumkan YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi telah meluluskan penubuhannya pada 10 Disember 2015 lalu”.
“Melalui penubuhan fakulti ini, dua program akademik sedia ada yang diletakkan di bawah Fakulti Sains dan Teknologi iaitu Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian serta Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) akan ditawarkan di bawah fakulti baharu ini mulai 2016”. Ujar Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dr. Zulkifli Abd. Ghani.
“Fakulti ini secara langsung akan membuka peluang baharu kepada pelajar lepasan sekolah agama untuk melanjutkan pengajian dalam bidang profesional. Usaha awal kepada penubuhan fakulti ini ialah dengan pengambilan kumpulan pertama pelajar Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian pada 2012 diikuti Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) pada 2013”.
“Pada Majlis Konvokesyen USIM kali ke-13 pada 7 hingga 9 November 2015 lalu, ia menyaksikan seramai 10 orang graduan kumpulan pertama Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian menerima ijazah masing-masing. Manakala graduan sulung program Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik) pula akan diraikan pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-15 pada tahun 2017 nanti”.
“Selari dengan kapasitinya kini sebagai sebuah fakulti yang dinamik ia mempunyai perancangan untuk menawarkan beberapa program akademik baharu pada masa hadapan. Diperingkat pra-siswazah adalah Sarjana Muda Ukur Bahan dengan Kepujian sementara pasca-siswazah ialah Sarjana Sains Kejuruteraan dan Doktor Falsafah Kejuruteraan”.
Walaupun masih baharu, program Seni Bina USIM contohnya telah berjaya mengharumkan nama Universiti apabila model rumah banjir patuh syariah yang dihasilkan sekumpulan pelajar dan pensyarahnya telah dipilih oleh TESCO Malaysia untuk dibina bagi mangsa banjir di Kelantan pada Mac lalu.
Fakulti baharu ini akan beroperasi secara sementara di Bangunan Fakulti Sains dan Teknologi secara gunasama segala kemudahan pembelajaran dan pengajaran yang terdapat di sana.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204