NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Malaysia telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil Pengantaraan Pensijilan Profesional Kemahiran Sulh-Mediasi bertempat di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM sebentar tadi.
Majlis yang berlangsung pada 5 Mei 2025 itu meraikan seramai 33 peserta, termasuk 29 pegawai JBG dan empat peserta jemputan yang berjaya menamatkan kursus selama lima hari dan lulus penilaian akhir. Kursus ini melayakkan mereka ditauliahkan sebagai Sole Mediator (Pengantara Persendirian).
Majlis disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JKSM, Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain serta Ketua Pengarah JBG, Dato’ Norazmi Mohd Narawi. Hadir sama barisan pentadbiran tertinggi USIM serta tokoh perundangan negara.
“Sudah masanya masyarakat diberi galakan bahawa penyelesaian pertikaian secara baik seperti sulh-mediasi ini perlu dipromosi sebagai kaedah utama dan bukan sekadar alternatif. Kaedah ini menjimatkan masa, kos, dan menjamin hubungan yang lebih harmoni,” kata Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin yang juga menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pihak dalam menjayakan program ini.
“Program ini merupakan siri kelima sejak diperkenalkan dan dilaksanakan menggunakan modul yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik USIM bersama JKSM. Kursus ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman serta latihan praktikal menerusi kaedah simulasi, kerja berkumpulan, permainan interaktif dan ceramah pakar dari institusi perundangan sivil dan syariah”, ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program merangkap Ketua Projek Pensijilan Sulh-Mediasi, Prof. Madya Dr. Hendun Abd Rahman Shah berkata, kursus ini bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal dalam pengantaraan, malah membina jaringan sinergi antara agensi dan institusi yang terlibat dalam penyelesaian konflik luar mahkamah.
Kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi seperti USIM dengan agensi kerajaan seperti JKSM dan JBG jelas membuktikan kejayaan pelaksanaan program pensijilan ini dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekosistem penyelesaian pertikaian yang lebih efisien di Malaysia.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani