ULU TIRAM JOHOR – PALAPES USIM telah melaksanakan Latihan Menembak Individu, Senjata Bantuan dan Lawatan Sambil Belajar di Pusat Latihan Tempur Darat (PULADA), Kem Ulu Tiram pada 12 hingga 16 Mei 2025 baru-baru ini. Latihan Berterusan kali ini melibatkan 2 peg dan 11 anggota tetap serta 19 pegawai muda dan 139 pegawai kadet. Turut hadir Naib Canselor USIM, Kolonel (K) Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani selaku Komandan PALAPES USIM.
Ujian dan Latihan ini telah diketuai oleh Mejar Noor Efendy Hj Samih dan mendapat bantuan sepenuhnya daripada pasukan berhampiran iaitu PULADA, Batalion Ke – 6 Rejimen Renjer DiRaja dan Rejimen 501 Askar Wataniah.
Menurut Mejar Noor Efendy Hj Samih, objektif Latihan ini adalah kepada penilaian tahap pengetahuan senjata persendirian serta pengendalian senjata kemahiran menembak anggota tetap dan pegawai kadet. Seterusnya, mengadun ilmu taktik, ilmu medan perang dan kecekapan pengendalian senjata. Di akhir latihan tersebut, ia akan menjadi kayu pengukur kepada Ketua Jurulatih menilai dan seterusnya mengambil langkah bagi memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti.
Pelaksanaan aktiviti ini melibatkan penggunaan senjata M4, M16, M203, LMG HK A1, LMG NATO dan MGKA. Latihan menembak malam turut dilaksanakan oleh anggota tetap dan seterusnya memberi pengalaman berguna kepada peg kadet dalam memahami kegunaan senjata yang diberikan.
Selain Latihan Menembak Individu dan Senjata Bantuan dilaksanakan, pegawai kadet PALAPES USIM juga berpeluang membuat Lawatan Sambil Belajar di Cawangan Serigala, Muzium PULADA, Galeri Senjata dan Galeri Medan Perang. Mereka berpeluang menyaksikan Demonstrasi Anjing Perang daripada Cawangan Serigala PULADA. Demonstrasi ini bertujuan untuk mempamerkan kehebatan dan kecekapan Unit Anjing Perang dalam membantu operasi ketenteraan khususnya dalam misi pengesan dan serangan.
Ujar Mejar Noor Efendy Hj Samih lagi, melalui latihan dan lawatan yang telah dirangka, pegawai kadet secara keseluruhannya berupaya memahami dan menjiwai bagaimana situasi peperangan berlaku apabila melaksanakan latihan menembak tidak kira waktu siang atau malam serta fungsi Cawangan Serigala PULADA dalam sesuatu operasi ketenteraan.
“Usaha ini bertepatan dengan Amanat Naib Canselor USIM Sasaran Keempat, iaitu Ekosistem Pembolehdaya dan Pembangunan Bakat, melalui pemantapan Model Pembangunan Bakat Kepimpinan Berasaskan Kompetensi yang mengintegrasikan Ilmu Naqli dan Aqli (INAQ)”.
“Ia turut selari dengan inspirasi Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24 menerusi konsep Sahsiah Keperwiraan (Warrior Ethos) yang menekankan keperluan melatih dan melahirkan barisan pemimpin yang terlatih, kompeten, berkeyakinan tinggi serta bersemangat profesionalisme dan jati diri (self-esteem), sekali gus menjadi role model kepada warga pasukan”, tambah beliau.
Seterusnya, inisiatif ini juga secara tidak langsung memperkukuh pelaksanaan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke – 30 menerusi Teras 1: Sumber Manusia (Cakna Etos Kepahlawanan) yang menegaskan bahawa strategi latihan perlu merangkumi aspek fizikal, mental dan rohani dalam usaha mempertingkatkan prestasi serta daya tahan (resilience) demi memberi impak yang signifikan terhadap Daya Tempur Tentera Darat.
Oleh: Mej Noor Efendy Hj Samih