NILAI – Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Program Pendidikan Bahasa Arab, Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat (UM SumBar), Indonesia serta Ittihad Mudarrisi al-Lughah al-‘Arabiyyah bi Indonesia (IMLA) telah menganjurkan Global Arabic Innovation Technology Competition (GAITC) 2025 bertempat di Dewan Utama FPBU, USIM pada 2 Julai 2025 baru-baru ini.

Program ini menghimpunkan seramai 36 kumpulan pelajar daripada Malaysia dan Indonesia melibatkan mahasiswa Tahun 3 Program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (SMBAK), pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPPI) serta pelajar dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat dan UIN Malang.

Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan istilah dan frasa bahasa Arab dalam bidang pengurusan dan teknologi melalui penghasilan projek inovatif. Selain itu, ia turut bertujuan melahirkan pelajar yang kreatif, berkemahiran tinggi dalam kerja berpasukan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi serantau.

Kumpulan ‘SpotVirtual’ telah diumumkan sebagai pemenang utama GAITC 2025 hasil pembentangan projek inovatif yang menonjol dari aspek ketepatan teknikal, penggunaan bahasa Arab yang fasih dan sistematik, serta impak sosial yang signifikan terhadap komuniti sasaran. Projek mereka dinilai sebagai contoh terbaik dalam menggabungkan elemen teknologi moden dengan pengaplikasian bahasa Arab secara kreatif dan berdaya saing di peringkat global.

Antara yang mencuri perhatian termasuk projek ‘MineBuild Studi’ yang menggunakan platform permainan Minecraft sebagai bahan bantu mengajar dalam konteks pendidikan abad ke-21. Menurut Muaz bin Abdul Kahar, pelajar SMPPI, projek tersebut dihasilkan bagi membantu guru melaksanakan kaedah pembelajaran yang lebih menarik dan sesuai dengan keperluan pelajar masa kini.

“Kami memilih Minecraft kerana ia selari dengan minat pelajar zaman sekarang. Ia membantu guru menyampaikan pembelajaran dengan cara yang lebih interaktif dan menyeronokkan,” jelas Muaz.

Satu lagi projek menarik pula datang daripada sekumpulan pelajar SMBAK yang membangunkan laman web interaktif serta ‘kotak cerdik’ khusus untuk pelajar sekolah rendah. Inovasi ini mengandungi pelbagai bahan pembelajaran seperti permainan dan kad imbas bertemakan bahasa Arab.

“Kami hasilkan projek ini untuk menarik minat pelajar sekolah rendah agar lebih suka belajar bahasa Arab. Dalam masa yang sama, ia membantu mengurangkan kebergantungan mereka terhadap gajet,” ujar Nur Najihah, wakil kumpulan.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, menekankan bahawa inisiatif seperti GAITC sangat penting dalam memartabatkan bahasa Arab dalam dunia digital.

“Bahasa Arab bukan sekadar warisan, tetapi juga bahasa masa depan yang mampu mengikuti arus revolusi teknologi dan digital,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penutup.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama turut memuji keberanian dan kreativiti pelajar dalam meneroka peranan bahasa Arab dalam inovasi teknologi.

“Bahasa Arab hari ini tidak lagi terbatas kepada komunikasi klasik, malah telah memainkan peranan dalam teknologi pintar dan aplikasi digital. Pelajar kita kini berperanan sebagai duta bahasa Arab dalam dunia kecerdasan buatan,” katanya.

GAITC 2025 telah membuktikan bahawa bahasa Arab mampu menjadi bahasa ilmu dan teknologi yang segar, moden dan kompetitif di peringkat global.

Oleh: Muhammad Imran Syauqi  Salihudin , Aina Farzana Azrul Anuar