NILAI – Dalam usaha memperkasa akses pembelajaran dalam kalangan pelajar berpendapatan rendah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah mengadakan sesi serahan tablet kepada 20 pelajar anak Johor B40, bertempat di Lounge Eksekutif Canselori USIM sebentar tadi.
Majlis ini disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mustaffa Kamal Dato’ Haji Shamsudin, Datuk Bandar Pasir Gudang, bersama-sama Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani, Naib Canselor USIM dan Prof Madya Dr Mushaddad Hasbullah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), yang turut hadir memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut.
Dalam ucapannya, Dato’ Haji Mustaffa Kamal menekankan peranan anak muda Johor sebagai ejen perubahan dan pemacu masa depan negeri serta negara. Beliau menyeru agar para pelajar menuntut ilmu bersungguh-sungguh bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi demi membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak berpeluang menuntut ilmu tinggi. Ilmu harus disertai keikhlasan, adab yang tinggi, dan pemikiran yang progresif.”
Beliau turut menekankan bahawa setiap bidang pengajian mempunyai kepentingan tersendiri, dan tiada satu pun yang harus dipandang rendah. Semua bidang kebitaraan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara holistik.
Sementara itu, Naib Canselor Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani dalam ucapannya turut menyambut baik inisiatif ini dan merakamkan penghargaan kepada MBPG atas komitmen mereka dalam menyokong pendidikan anak negeri Johor.
“Diharapkan anak jati Johor yang menuntut di USIM yang menerima tablet ini agar dapat menggunakan ia sebagai alat bantu pembelajaran, khususnya dalam menyokong keperluan pembelajaran digital dan memperkasa kecemerlangan akademik mereka”.
Dalam pada itu, pelajar tahun satu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Muhammad Azim Sufi Hamiz Mohd Azean, 20, dari Batu Pahat, melahirkan rasa syukur atas penerimaan tablet yang disumbangkan.
“Sebagai anak sulung daripada empat beradik, saya amat bersyukur menerima bantuan ini. Ia akan banyak membantu dalam proses pembelajaran saya, dan saya berharap ia menjadi titik perubahan untuk saya membela nasib keluarga suatu hari nanti,” tambah beliau.
Majlis ini turut menjadi simbol kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan tinggi dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, malah tinggi nilai adab dan sahsiah.