OSAKA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar satu lagi pencapaian membanggakan di peringkat global apabila diberi penghormatan menyertai Expo Osaka 2025 atas jemputan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia selaku urus setia Malaysia Pavilion. Penyertaan ini menjadi medan strategik USIM dalam menjulang agenda Halal, dakwah Islam dan kewangan Islam di pentas antarabangsa.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, telah tampil dalam sesi Pocket Talk dengan menyampaikan ceramah bertajuk “Halal and Tayyiban from Food Safety Perspectives”, yang menekankan konsep pemakanan Islam sebagai sistem yang komprehensif, bukan hanya memenuhi keperluan halal, tetapi juga menjamin keselamatan, kualiti dan keberkatan makanan.

Turut bersama ialah Prof. Zurina Shafie, yang berkongsi wawasan dalam sesi Pocket Talk bertajuk “Islamic Finance Education: Leading the Future of Ethical Finance”, memperlihatkan peranan besar pendidikan kewangan Islam dalam membentuk sistem ekonomi beretika yang mampan.

Dalam misi pemerkasaan agenda Islam di Jepun, USIM juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Japan Dakwah Centre (JDC) yang diterajui oleh Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Kerjasama ini membuka ruang luas dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan aktiviti dakwah Islamiah, sekali gus mengukuhkan misi menjadikan Islam sebagai rahmat ke seluruh alam.

USIM turut menjalinkan kerjasama strategik melalui MoU bersama Aoyama Gakuin University melibatkan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dalam bidang gamifikasi pendidikan kewangan Islam menerusi pembangunan Muamalat Interactive Game.

Meneruskan agenda diplomasi pendidikan, delegasi USIM turut mengadakan perbincangan strategik bersama Wakayama University dalam bidang ekonomi dan pelancongan. Perbincangan disambut baik oleh Profesor Dr. Takanori Nomura, Pengarah Eksekutif Wakayama University, yang menyuarakan keterbukaan terhadap kerjasama mobiliti pelajar, summer school dan penyelidikan bersama dalam sektor pelancongan.

Menyantuni komuniti Islam tempatan, Naib Canselor USIM turut dijemput menyampaikan ceramah khas bertajuk “The Qur’an as The Ultimate Reference” kepada komuniti Islam di Osaka. Sesi ini membuka dimensi kefahaman tentang al-Qur’an sebagai rujukan utama dalam pelbagai bidang ilmu, dari sains dan teknologi, pembangunan sosial, hingga kepimpinan nilai berasaskan Islam.

Naib Canselor USIM berkata, “Inisiatif USIM di Jepun ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan berteraskan ilmu Naqli dan Aqli, sekaligus memperkasakan USIM sebagai hub pendidikan tinggi Islam yang terampil di Malaysia”.

USIM tekad untuk terus mengangkat misi pengantarabangsaan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, dengan memacu jaringan global yang berimpak serta menampilkan nilai-nilai Islam sebagai asas pembangunan tamadun sejagat.

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani