NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang perundangan dan kehakiman syarie di Sabah semalam.

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) USIM ini disaksikan oleh YB. Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah, serta Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM. Turut hadir, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Haji Hussin, Yang di-Pertua MUIS; Datuk Ramlan Awang Ali, Setiausaha MUIS; dan Prof. Madya Dr. Abdul Manan Ismail, Dekan FSU.

Melalui MoA ini, MUIS akan menaja yuran pengajian pelajar-pelajar dari Sabah yang mengikuti program Diploma Lepasan Ijazah – Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Program ini, yang dimulakan pada Oktober 2024, dijangka melahirkan kohort pertama graduan pada November 2025.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, program DIJAP adalah satu keperluan bagi melahirkan graduan undang-undang dan syariah yang kompeten, beretika serta mahir dalam proses, peraturan dan tatacara mahkamah syariah.

“Kerjasama strategik ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan kapasiti profesional dalam bidang kehakiman dan guaman syarie di Negeri Sabah demi kemaslahatan ummah dan pembangunan sistem perundangan syariah negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri MOSTI Sabah merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah, YB. Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd Arif, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan institusi kehakiman syarie di negeri tersebut.

“Hubungan antara MUIS dan USIM ini bukan sahaja diperkasa dalam bidang pendidikan kehakiman syarie, malah turut diperluas kepada bidang-bidang lain seperti industri halal yang mempunyai potensi besar di Sabah. Sinergi antara institusi pengajian tinggi dan institusi agama seperti ini amat penting bagi membangunkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan berintegriti, sekaligus menyumbang kepada kemajuan negeri dan kesejahteraan ummah,” ujarnya.

MUIS, sebagai badan berkanun yang bertanggungjawab memelihara dan memartabatkan kesejahteraan ekonomi serta sosial umat Islam di Sabah, melihat kerjasama ini sebagai bukti komitmen bersama antara negeri dan universiti dalam membangunkan generasi pelapis yang berwibawa dalam perkhidmatan kehakiman dan guaman syarie.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani