NILAI – “Saya bercita-cita untuk menjadi Guru Agama. Sebab itu USIM jadi pilihan pertama saya untuk sambung pengajian di sini,” kata Nur Izzati Hazwani Mohamad, 20, dari Kampung Melayu Dit, Sarawak.

Izzati merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Saratok, Sarawak.

“Ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga demi mengejar impian dalam bidang yang saya minati. Perasaan memang bercampur, ada gementar dan ada gembira, tapi saya cuba kuatkan diri. Harapan saya dapatlah capai keputusan terbaik, mungkin sampai ke tahap Anugerah Dekan,” tambahnya.

Menurut Izzati, keputusan memilih USIM dibuat kerana keyakinannya terhadap universiti ini yang menggabungkan ilmu Naqli dan Aqli dalam pengajaran.

“Saya percaya suasana di USIM bukan saja membantu kecemerlangan akademik, tapi juga membentuk sahsiah. Itu yang saya cari,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau tidak lupa menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya yang sentiasa mendoakan dan memberi sokongan.

“Tanpa mereka, mungkin saya tak sekuat ini untuk berani keluar dari kampung halaman,” ujarnya lagi.

Izzati turut meletakkan harapan agar pengajian di USIM dapat mematangkan dirinya bukan saja dari segi ilmu, tetapi juga kepimpinan dan kemahiran insaniah.