NILAI – Kehadiran sepasang kembar dari Palestin, Mohamed Tariq Mansour Wafi dan Mansour Tariq Mansour Wafi, mencuri perhatian apabila kedua-duanya mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu Sarjana Muda di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi Sesi Akademik 2025/2026 hari ini.
Berusia 19 tahun, Mohamed Tariq kini mengikuti pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), manakala Mansour Tariq pula memilih bidang Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).
Kedua-duanya menyatakan Malaysia sebagai destinasi pilihan kerana suasana persekitaran yang hijau dan tenang, menjadikannya tempat ideal untuk menimba ilmu.
“Malaysia sangat menarik, terutamanya kerana kehijauan dan suasananya yang menenangkan. Kami rasa ini tempat yang sesuai untuk belajar dan membina masa depan,” kata Mohamed Tariq.
Mereka turut mengakui sokongan keluarga menjadi pendorong utama untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi.
“Keluarga kami sentiasa memberi semangat agar kami meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi. Itu menjadi motivasi besar untuk kami,” tambah Mansour Tariq.
Walaupun baru menjejakkan kaki ke alam universiti, kedua-duanya sudah menetapkan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah (PhD), dengan harapan ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk masyarakat Palestin dan dunia Islam.
Kehadiran kembar Palestin ini bukan sahaja menambah warna dalam komuniti pelajar antarabangsa USIM, malah mengukuhkan lagi aspirasi universiti untuk terus menjadi institusi pendidikan bertaraf global yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani