NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen menjaga kebajikan mahasiswa dengan melaksanakan program Ziarah Kasih ke kediaman bakal pelajar di sekitar Negeri Sembilan.
Lawatan ini diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah bersama Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, Encik Md. Ishah Rahman, melibatkan tiga buah rumah bakal pelajar di Ampangan (Seremban), Kuala Pilah dan Bahau.
Ketiga-tiga pelajar terbabit merupakan pelajar daripada keluarga B40 yang akan mendaftar sebagai mahasiswa USIM pada 23 dan 24 September 2025. Setiap pelajar menerima Bantuan Awal Pengajian sebanyak RM500 yang disalurkan melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) USIM.
Antara penerima termasuk pelajar yang dibesarkan oleh ibu tunggal selepas kehilangan bapa, pelajar daripada keluarga berpendapatan sekitar RM2,000–RM2,500 sebulan, serta pelajar yang tersenarai dalam sistem eKasih sebagai keluarga miskin. Bantuan ini memberi makna besar untuk meringankan persediaan mereka melangkah ke alam universiti.
Menurut Prof. Madya Dr. Mushaddad, bantuan ini merupakan inisiatif awal USIM selepas pengumuman keputusan UPUOnline pada 5 September 2025 bagi memastikan pelajar berkeperluan mendapat persediaan segera.
“Inisiatif ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pelajar untuk melangkah ke alam universiti dengan lebih yakin dan bersedia,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini selari dengan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Naib Canselor USIM dan pengurusan universiti yang menekankan kepentingan menyantuni pelajar berkeperluan demi menjadikan akses pendidikan tinggi lebih adil dan inklusif.
USIM melalui PWZ juga terus memperkukuh agenda kebajikan dengan menyalurkan dana wakaf dan zakat secara berkesan. Pada tahun lepas, PWZ telah mengagihkan RM3.12 juta bagi membantu keperluan pengajaran, pembelajaran, kebajikan dan kesihatan pelajar melalui dana zakat, wakaf, endowmen dan infak.
USIM komited untuk memastikan setiap pelajar berpeluang menuntut ilmu di peringkat tinggi tanpa dihalang faktor kewangan.
Oleh: Amira Asyikin Razali