NILAI, 25 September – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbesar hati menerima kehadiran empat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar sebagai pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2025/2026.

Salah seorang daripada mereka ialah Nik Nor Mastinaashikin binti Landy, 21, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari SMKA Durian Guling, Marang, Terengganu.

Di sebalik ujian kehilangan pendengaran yang dialami ketika umurnya 19 tahun iaitu kira-kira tiga tahun lepas, Mastinaashikin membuktikan bahawa cabaran kesihatan tidak pernah menjadi penghalang untuk mengejar cita-cita. Anak keenam daripada tujuh beradik ini memilih USIM sebagai universiti pilihan utama kerana tertarik dengan keunikan program yang menggabungkan pengajian Undang-undang dan Syariah secara serentak, yang diiktiraf oleh MQA dan LKPU.

Mastinaashikin mengakui cabaran terbesarnya adalah menguruskan sensitiviti terhadap bunyi. “Apabila berada dalam suasana terlalu padat atau bising, saya mudah mengalami sakit kepala dan sukar untuk fokus,” jelasnya. Keadaan ini berpunca daripada masalah saraf pada otak yang memberi kesan langsung terhadap pendengarannya. Namun begitu, beliau berusaha mengawal situasi tersebut dengan belajar membaca bahasa tubuh, memahami konteks komunikasi, serta menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Di sebalik cabaran itu, Mastinaashikin bersyukur kerana mempunyai sistem sokongan yang kukuh. Kedua-dua ibu bapanya, Tuan Embong binti Syed Nor dan Landy bin Suraidy, sentiasa memberikan dorongan meskipun pernah berasa risau dengan keadaan kesihatannya. Sokongan daripada kakak dan abang turut menjadi sumber kekuatan, di samping penghargaan kepada USIM yang menyediakan pelbagai kemudahan mesra pelajar berkeperluan khas, sekali gus menambah keyakinannya untuk terus menimba ilmu.

“Harapan saya adalah untuk menjadi insan seimbang, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berpegang pada nilai Islam serta memberi manfaat kepada masyarakat. Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang profesional undang-undang yang memahami kedua-dua sistem, sivil dan Syariah, agar dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan lebih adil dan menyeluruh,” ujarnya penuh tekad.

Selain Mastinaashikin, tiga lagi pelajar OKU yang turut mendaftar ialah Khairul Ilman Kamaruzaman, Nur Amanina Maricar Ahmad Razeam Maricar, dan Syed Muhammad Danish Syed Mohammad Ekhzubir.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani bersama barisan pengurusan universiti turut hadir menyantuni para pelajar berkenaan serta keluarga mereka.