NILAI – Lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada pelajar, alumni, komuniti setempat dan wakil institusi pengajian tinggi luar membanjiri USIM Career & Internship Fair 2025 yang berlangsung meriah di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 8 Oktober 2025.
Penganjuran julung kali oleh Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) dengan kerjasama Talentbank ini membuka ruang luas kepada pelajar dan alumni untuk meneroka peluang pekerjaan dan penempatan latihan industri melalui jaringan bersama pelbagai agensi dan syarikat industri terkemuka.
“Sambutan yang amat menggalakkan daripada pihak industri dan agensi membuktikan keyakinan mereka terhadap potensi pelajar USIM, serta kesediaan mereka menyediakan peluang kerjaya dan latihan industri.
Semoga sinergi dan jaringan strategik ini akan terus diperkasa demi melahirkan graduan USIM yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini,” ujar YBrs. Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM dalam ucapan perasmiannya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni USIM, YBrs. Prof. Dr. Mahazan Abdul Mutalib@Taib, berkata penganjuran ini merupakan antara inisiatif strategik universiti untuk memperkukuh kadar kebolehpasaran graduan serta memantapkan jaringan kolaborasi dengan rakan industri.
“Kerjasama secara kolektif amat penting bagi memastikan agenda kebolehpasaran graduan dilaksanakan secara serius dan sistematik. Saya yakin, isu pengangguran dalam kalangan graduan dapat diatasi melalui pendekatan kerjasama yang holistik dan berterusan dengan pihak industri,” ujarnya.
Sebanyak 23 reruai majikan dan industri mengambil bahagian dalam pameran ini — termasuk beberapa alumni USIM yang kini menjadi usahawan berjaya. Antara tarikan utama ialah reruai Usahawan Alumni USIM yang menampilkan pelbagai produk dan juadah menarik, selain pelbagai peluang pekerjaan dan latihan industri yang ditawarkan kepada pelajar.
Program yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 4.00 petang itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti Career Talk oleh MYFutureJobs, 1:1 Career Coaching Session bersama kaunselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Jabatan Pendaftar, dan pelajar Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).
Menariknya, lebih 20 cabutan bertuah turut ditawarkan kepada pengunjung, termasuk hadiah utama berupa Mi Watch, AirPods (Xiaomi) dan speaker Sony, menjadikan suasana lebih meriah sepanjang program.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Encik Ben Ho, turut menzahirkan penghargaan atas jalinan kerjasama ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan USIM dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyediakan platform jaringan industri yang bermakna. Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan secara tahunan,” katanya.
Penganjuran USIM Career & Internship Fair 2025 bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dengan pihak industri, tetapi juga membuktikan komitmen USIM dalam melahirkan graduan yang seimbang, kompeten dan bersedia melangkah ke alam pekerjaan profesional.
Oleh: Syazlyna Jamil