NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan tradisi menghargai sumbangan warganya menerusi penganjuran Majlis Sanjungan Budi 2025 yang berlangsung penuh penghormatan di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) pada 15 Oktober 2025.
Majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menghimpunkan warga universiti bagi meraikan pesara, penerima Anugerah Khidmat Setia, Anugerah Jasa Setia serta penerima Anugerah Sumbangsih Naib Canselor. Turut diadakan ialah sesi memperingati tiga warga USIM yang telah kembali ke rahmatullah — Allahyarham En. Muin Yahaya, Allahyarham En. Mohd Zaki Jamaludin, dan Allahyarham Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Ghazali.
Dalam ucapannya, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin menzahirkan rasa syukur atas kehadiran dan komitmen warga USIM yang sentiasa menjadi tonggak kekuatan universiti. Bertepatan dengan sambutan 25 tahun penubuhan USIM, tahun ini menyaksikan buat julung kalinya penganugerahan khas “Anugerah Jasa Setia 25 Tahun” kepada staf yang telah berkhidmat sejak awal penubuhan universiti.
“Anugerah ini merupakan simbolik penghargaan universiti kepada tuan-tuan dan puan-puan atas segala jasa, komitmen dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan di USIM,” ujar beliau.
Selain menghargai sumbangan warga universiti, USIM turut mengiktiraf organisasi, syarikat dan individu luar yang menunjukkan dedikasi dan kecemerlangan luar biasa dalam bidang masing-masing melalui Anugerah Sumbangsih Naib Canselor.
Menyoroti erti sebenar khidmat dalam konteks Islam, Naib Canselor turut mengingatkan warga USIM agar terus mengekalkan budaya kerja yang berteraskan nilai ihsan dan kecemerlangan.
“Setiap daripada kita memainkan peranan penting dalam menyemai bakti, menggunakan platform jawatan dan pengalaman yang dimiliki demi menjunjung visi dan misi universiti. Semoga penghargaan seumpama ini menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan lebih berkualiti dan berintegriti,” tambah beliau.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada sembilan pesara USIM yang menamatkan perkhidmatan tahun ini. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan rezeki yang berpanjangan.
“Walaupun majlis ini tidak mampu menandingi nilai sebenar khidmat bakti yang telah dicurahkan, ia adalah tanda ingatan dan kasih kami yang masih berkhidmat. Semoga kenangan manis sepanjang berada di USIM akan terus menjadi sebahagian daripada memori indah dalam hidup tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.