KUALA LUMPUR – Tong 17 sebuah teater arahan dan idea dari Aloeng Silalahi, yang menjadi taruhan berani Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akhirnya dinobatkan sebagai Johan Pesta Teater Kuala Lumpur (PTKL) 2025 yang berlangsung pada 12 Oktober 2025.

PTKL telah berlangsung dari 1 hingga 10 Oktober 2025 di Panggung Anniversari dan menampilkan pelbagai pementasan teater percuma. Selain pementasan, turut diadakan forum teater pada 4 Oktober dan pada Malam Anugerah pada 12 Oktober sebagai kemuncak acara.

Kumpulan ATRA yang dianggotai 28 orang tenaga produksi buat kali pertamanya menyertai PTKL dan mementaskan teater muzikal Tong 17 dengan mengisahkan sebuah kehidupan  tentang sebuah lorong sempit kota, tersembunyi suatu rahsia yang lama dipendam. Di tengah lorong itu, berdiri Tong No.17 sebuah tong besi usang yang tidak pernah dialihkan, kelilingnya  penuh dengan sisa dan menjadi simbol  suara dan sejarah yang dilupakan. Kisah ini digerakkan oleh watak Anis, seorang pekerja baru yang berani dan sering mempersoalkan tentang kweujudan tong tersebut yang seakan tidak siapa berani mengambil tanggungjawab untuk dialihkan.  Apabila ditanya kepada penyelia dan rakan sekerjanya mereka hanya mendiamkan diri. Bersama Jumo, sahabat yang keliru antara patuh dan melawan, mereka berdepan dengan Bang Kot, Wak Jen dan geng lorong dalam satira sosial yang menggambarkan karenah birokrasi dan nilai kemanusiaan.

Menurut ketua produksi ATRA, Sufiatul Aqilah, kejayaan ATRA di PTKL dianggap sebagai batu loncatan untuk mendorong ATRA melangkah  lebih jauh dan menempa nama dalam industri teater tanah air.

“Kemenangan ini membakar semangat kami untuk terus berkarya dan mengangkat teater tempatan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu penulis skrip dan pengarah Tong 17, Aleong Silalahi turut menerima anugerah Pengarah Terbaik dengan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM1500.00. Menurut  beliau,  latihan Tong 17  tidak mengambil masa yang  lama, namun berkat kegigihan, displin dan pengorbanan masa dan tenaga semuruh warga ATRA.

“Semangat anak-anak didik saya menjadi nadi utama kejayaan ini. Mereka membuktikan bahawa teater bukan sekadar seni, tetapi perjuangan jiwa,” ujarnya.

Aloeng atau nama sebenarnya Mohd Arif Taslim juga merupakanTenaga Pengajar Seni Budaya di Pusat Kebudayaan USIM yang telah berkhidmat selama 19 tahun.  Aktif sebagai penggiat teater dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana.

Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato’ Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif bersama Mohd Radzi, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada Malam Anugerah Pesta Teater Kuala Lumpur 2025 yang telah berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana pada 12 Oktober 2025.

 

Oleh: Rozihani Mohamad