NILAI – Seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umul Ain’syah Sha’ari, 28, mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila terpilih sebagai antara 10 peserta seluruh negara bagi menyertai Australia–Malaysia Virtual PhD Internship Program (AMVPIP) 2025.
Program berprestij ini merupakan inisiatif bersama Suruhanjaya Tinggi Australia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena sambutan 70 tahun hubungan diplomatik Australia–Malaysia. Ia diselaras oleh Australian Department of Education dengan objektif memperkukuh jaringan penyelidikan dan kolaborasi akademik antara kedua-dua negara.
Bagi edisi tahun ini, program dijalankan secara maya selama 12 minggu, bermula 21 Mei hingga 15 Ogos 2025, melibatkan pelajar PhD dari pelbagai universiti awam di Malaysia. Para peserta diberi peluang menjalankan projek penyelidikan bersama penyelia dari institusi penyelidikan dan universiti ternama di Australia, menjadikan ia platform berharga untuk pertukaran ilmu serta pembangunan kemahiran penyelidikan global.
Kemuncak program adalah Mini Symposium dan majlis penutup yang diadakan di Kuala Lumpur pada penghujung Ogos, di mana para peserta membentangkan hasil penyelidikan dan perkongsian pengalaman sepanjang tempoh latihan intensif tersebut.
Dalam sesi pembentangan, Umul Ain’syah, pelajar PhD dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) mengetengahkan kajian bertajuk “Developing a New Credit Risk Exposure Model to Illustrate Financial Sustainability Options for Corporate Financing Using Monte Carlo Simulation.”
Kajian tersebut menumpukan pembangunan model baharu penilaian risiko kewangan korporat secara mampan, dengan menekankan potensi pembiayaan berasaskan ekuiti sebagai pendekatan alternatif dalam memperkukuh kelestarian kewangan syarikat di Malaysia.
Menurut Dr. Siti Raihana Hamzah, pensyarah kanan FST yang juga penyelia utama projek, penyertaan Umul Ain’syah dalam program ini merupakan peluang bernilai tinggi untuk memperkukuh kemahiran penyelidikan dan memperluas jaringan akademik antarabangsa pelajar USIM.
“Penyertaan pelajar ini membuktikan kemampuan penyelidik muda USIM untuk terlibat secara aktif dalam ekosistem penyelidikan global. Ia juga selari dengan aspirasi universiti untuk menggabungkan nilai Naqli dan Aqli dalam penyelidikan berimpak antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, pengalaman tersebut turut membantu peserta memperhalusi metodologi kajian, meningkatkan kecekapan analisis data, serta memperkukuh keyakinan diri dalam pembentangan hasil penyelidikan di peringkat global.
Secara keseluruhannya, penglibatan USIM dalam Australia–Malaysia Virtual PhD Internship Program (AMVPIP) 2025 memperkukuh lagi reputasi universiti sebagai institusi penyelidikan Islam berteraskan integrasi ilmu dan inovasi global.
 
			
					 
									



