NILAI – Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus membuktikan peranan pentingnya sebagai tulang belakang pelaksanaan pilihan raya kampus yang lancar, telus dan berimpak tinggi. Melalui kepimpinan dinamik serta pendekatan komunikasi yang segar, JPMPP berjaya mencipta sejarah apabila 96.97% pelajar USIM turun mengundi dalam Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) 2025yang berlangsung malam tadi. Ini juga merupakan pencapaian tertinggi sejak penubuhan universiti.
Menurut Pengerusi JPMPP 2025, Amirul Hairie Muhammad,22, pelajar Tahun 4, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), kejayaan ini merupakan hasil gabungan strategi kreatif, semangat kerja berpasukan dan dedikasi tinggi semua ahli JPMPP.
“Peranan JPMPP bukan sekadar mengurus pemilihan, tetapi juga mencetuskan suasana politik kampus yang sihat dan matang. Kami mahu pelajar bukan hanya keluar mengundi, tetapi memahami kepentingan suara mereka dalam demokrasi kampus,” katanya.
JPMPP tahun ini menampilkan pelbagai inisiatif baharu yang dekat dengan dunia pelajar, termasuk penghasilan poster interaktif, video pendek dan kempen media sosial kreatif bagi meningkatkan kesedaran pengundi. Kerjasama erat dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti (PMF) turut memperluas capaian maklumat serta menarik penglibatan pelajar dari semua fakulti. Amirul turut menzahirkan penghargaan kepada pasukannya yang sentiasa komited dan berdedikasi.
“Saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang mampu mengurus pilihan raya kampus dengan baik walaupun dengan pemantauan minimum. Inilah semangat sebenar kerja berpasukan,” tambahnya.
Dalam memastikan proses pilihan raya kampus berjalan lancar, JPMPP menerima sokongan teknikal penuh daripada Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) yang menyediakan sistem e-undi USIM berasaskan laman sesawang yang stabil, selamat dan mesra pengguna. Sistem tersebut turut dipertingkatkan dengan ciri keselamatan data dan bantuan teknikal masa nyata sepanjang tempoh pengundian.
Dalam pada itu, Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) memainkan peranan penting dalam menyelia dasar, memantau garis panduan, serta memastikan keseluruhan proses pemilihan dijalankan secara adil dan telus selaras dengan peraturan universiti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah, menzahirkan penghargaan terhadap sinergi dan kerjasama yang amat baik antara JPMPP, SDEC dan PHEP sehingga menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
“Saya juga berharap agar barisan MPP kali ini dapat menyambung kesinambungan kecemerlangan MPP yang lepas dan menjadi jambatan strategik yang menghubungkan antara pelajar dan kepimpinan universiti,” tambah beliau.
Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2025/2026 mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya (87.02%), dengan 96.97% pelajar mengundi secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi https://pilihmpp.usim.edu.my. Sebanyak 9 kerusi umum dan 18 kerusi fakulti dipertandingkan dengan penyertaan 63 calon keseluruhan, menjadikan saingan tahun ini antara yang paling meriah dan kompetitif dalam sejarah pilihan raya kampus USIM.
Antara fakulti yang mencatatkan jumlah pencalonan tertinggi adalah Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) dengan 12 penjuru, diikuti Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) serta Fakulti Sains dan Teknologi (FST) masing-masing dengan 9 penjuru. Seterusnya, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) mencatat 8 penjuru, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) 7 penjuru, manakala Fakulti Pergigian (FPG), Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) masing-masing 5 penjuru. Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) pula menyaksikan 3 penjuru.
Sementara itu, Muhammad Danish Suhailey dari FKP memperoleh undi tertinggi sebanyak 7,973 undi, diikuti Nur Maisarah Hamdan dari FSU dengan 7,009 undi.
Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa JPMPP USIM bukan sekadar jawatankuasa teknikal, tetapi sebuah pasukan kepimpinan pelajar yang menjadi pemangkin kepada demokrasi kampus yang matang, beretika dan berdaya fikir, seiring aspirasi USIM dalam melahirkan Muslim profesional berjiwa kepimpinan dan berintegriti tinggi.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar


