SEREMBAN – Majlis Santapan Malam Rejimental Pegawai Muda PALAPES UKM & USIM Siri Ke-43 berlangsung dengan penuh adat dan keagungan ketenteraan semalam 10 November 2025 di Seri Negeri Ballroom, Hotel Royale Chulan, Seremban. Majlis penuh istiadat ini dianjurkan bersama oleh Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meraikan para Pegawai Muda yang telah berjaya menamatkan latihan pegawai kadet selama tiga (3) tahun.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM, dan D.Y.M.M. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM. Turut berangkat Y.A.M. Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor UKM.

Menyerikan lagi majlis berprestij ini ialah kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani bersama isteri, Puan Sri Melor Wati Darus; Naib Canselor UKM, Kol. (K) Prof. Dr. Sufian Jusoh bersama isteri, Dr. Intan Murnira Ramli; serta Naib Canselor USIM, Kol. (K) Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani bersama isteri, Prof. Madya Datin Dr. Aza Sherin Mohamad Yusuff. Turut hadir barisan Timbalan Naib Canselor, pegawai kanan universiti serta Ketua-Ketua Jurulatih PALAPES UKM dan USIM.

Kemuncak majlis menyaksikan keberangkatan D.Y.M.M. Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan untuk menyempurnakan penganugerahan kepada Pegawai Muda PALAPES USIM yang cemerlang dalam aspek sahsiah, kepimpinan dan disiplin sepanjang latihan. Antara penerima anugerah ialah LtM Abdullah Sani bin Abdul Ghani – Anugerah Canselor (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab), LtM Ahmad Azam Anwari bin Azam – Anugerah Komandan (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi), LtM Ahmad Haziq bin Mohd Saidi – Anugerah Timbalan Komandan (Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi) dan LtM Umar Abdul Azeez bin Jaiya – Anugerah Ketua Jurulatih (Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi Makanan)

Dalam ucapan aluan, Naib Canselor USIM, Kol. (K) Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada para Pegawai Muda atas kejayaan menamatkan latihan dengan penuh iltizam dan daya tahan. Beliau menegaskan bahawa kecemerlangan mereka merupakan manifestasi kejayaan pendidikan yang mengintegrasikan ilmu, kepimpinan dan nilai — seiring dengan Amanat Naib Canselor USIM (Sasaran Keempat: Ekosistem Pembolehdaya dan Pembangunan Bakat) melalui pemantapan Model Pembangunan Bakat Kepimpinan Berasaskan Kompetensi INAQ (Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli).

“Pendekatan ini memastikan pembinaan pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik dan kemahiran ketenteraan, malah memiliki akhlak, integriti dan daya juang tinggi dalam apa jua bidang perkhidmatan yang diceburi,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih PALAPES yang sentiasa komited membimbing dan membentuk pegawai muda hingga berjaya menempuh pelbagai cabaran latihan. Katanya, jurulatih menjadi nadi utama dalam pembentukan disiplin, semangat juang dan jati diri pegawai muda, sekali gus memperkukuh potensi kepimpinan mereka.

Selaras dengan aspirasi USIM dan pasukan PALAPES, latihan ketenteraan di universiti bukan sekadar membina fizikal dan disiplin, malah memperkasa potensi kepimpinan mahasiswa melalui latihan terancang, bimbingan sistematik dan penghayatan nilai-nilai Islam berasaskan Model INAQ.

Majlis Santapan Malam Rejimental ini menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan, ketabahan dan kejayaan para Pegawai Muda PALAPES. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan dalam kerjaya dan khidmat kepada tanah air. Tahniah kepada semua Pegawai Muda PALAPES! Teruslah maju dan berbakti dengan penuh iltizam di bawah cogan kata “Sentiasa Memimpin.”

 

Oleh: Muhammad Aizat Mat Nazan