KUALA LUMPUR – Seramai 60 pelajar Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan lawatan akademik ke Parlimen Malaysia pada 11 November 2025, yang menerima sambutan mesra daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Dr. Zulkifli Hasan.
Dalam kunjungan tersebut, para pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung sesi Prime Minister’s Question Time (PMQT) serta menghadiri sesi perkongsian khas bersama YB Senator Dato’ Dr. Zulkifli Hasan. Dalam perkongsian itu, beliau menzahirkan pengalaman sebagai seorang Senator selain menjelaskan fungsi Parlimen dalam menggubal dasar negara, serta kepentingan komunikasi beretika dan berintegriti dalam konteks pentadbiran negara.
Menurut beliau, Parlimen Malaysia sentiasa mengalu-alukan kunjungan pelajar dari pelbagai institusi pendidikan tinggi sebagai langkah memperkukuh literasi kenegaraan dan kefahaman terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Lawatan ini turut diiringi oleh seorang pensyarah Program Komunikasi Media Baharu, FKP USIM Dr Afiqah Mior Kamarulbaid, dan bertujuan memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai hubungan antara komunikasi, dasar awam dan kepimpinan nasional. Inisiatif ini seiring dengan hasrat USIM untuk melahirkan graduan berilmu, berakhlak serta peka terhadap isu semasa negara, selaras dengan visinya untuk memadukan ilmu Naqli dan Aqli dalam pendidikan tinggi.
Oleh: Nur Maisarah Mohd Zaimee