NILAI – Ketabahan seorang graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Khairul Ellysa binti Khairul Azman, 24, wajar dijadikan inspirasi apabila beliau berjaya menamatkan pengajian Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) meskipun kehilangan ayah tercinta hanya empat minggu sebelum peperiksaan akhir.
Ellysa, yang kini menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma guaman di Bangi, berkata pemergian ayahnya merupakan ujian paling berat sepanjang tempoh pengajian, khususnya dari segi pengurusan emosi dan tumpuan akademik.
“Walaupun sukar, saya tetap teruskan kerana itu yang papa mahukan. Kejayaan ini saya hadiahkan untuk papa,” katanya.
Beliau memilih bidang kehakiman dan guaman syarie kerana minat mendalam terhadap profesion peguam, selain keinginan untuk memahami sistem perundangan Islam dengan lebih mendalam. Sokongan ibu, adik-beradik, rakan-rakan dan para pensyarah menjadi antara faktor yang membantu Ellysa kembali stabil selepas dugaan tersebut.
Mengimbangi jadual akademik dengan komitmen sebagai pelatih guaman turut menuntut disiplin yang tinggi. Ellysa berkata beliau menguruskan tugasan berdasarkan keutamaan, menetapkan matlamat harian, serta memastikan ruang rehat yang mencukupi untuk mengekalkan keseimbangan diri.
Beliau berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada pelajar lain yang berdepan dugaan.
“Cari sokongan, beri masa pada diri untuk pulih, dan teruskan langkah,” pesannya.
USIM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas kejayaan beliau dan mendoakan perjalanan kerjaya Ellysa terus dipermudahkan serta cemerlang.
Oleh: Muhammad Iqbal bin Shamshor Annuar