NILAI — Perjalanan untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi bagi Muhammad Faris Mohd Faisal bukanlah seperti rakan seangkatannya. Pernah tersasar haluan, bergelut mengurus emosi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, graduan dari Shah Alam ini akhirnya berjaya menamatkan pengajian dengan penuh rasa syukur.
Faris memulakan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Muamalat pada era pandemik COVID-19. Namun selepas dua tahun, beliau merasakan bidang tersebut tidak lagi sesuai dengan minat dan kecenderungan dirinya.
“Saya jumpa kaunselor, dan pensyarah untuk meminta nasihat. Alhamdulillah, saya diberi peluang tukar ke bidang komunikasi, dan ramai yang mendoakan saya untuk teruskan dalam bidang ini,” katanya.
Pertukaran bidang itu hadir bersama cabaran besar, dengan proses adaptasi, tekanan akademik dan emosi yang tidak stabil. Namun dorongan keluarga, terutamanya ibu dan ayah, menjadi sumber kekuatan utama yang membuatkan Faris memilih untuk bertahan.
“Mak ayah adalah tulang belakang saya. Kalau saya berhenti, saya rasa saya menghampakan semua orang yang percaya dan mendoakan saya,” ujarnya.
Walaupun mengakui sukar menyeimbangkan komitmen akademik dengan penglibatan aktif dalam pelbagai program universiti, Faris tetap berusaha memberikan yang terbaik.
“Sejujurnya, sampai habis belajar pun saya masih struggle nak balance akademik dan program. Tapi saya nak pengalaman, nak manfaat ilmu daripada orang. Pelajaran tetap saya kejar walaupun last minute,” katanya sambil tersenyum kecil.
Antara detik paling menyentuh baginya ialah saat menyarung jubah konvokesyen, wajah ayahnya menjadi orang pertama yang terlintas di fikiran.
“Ayah saya luar biasa pengorbanannya. Sepanjang saya belajar, semuanya cukup dengan usaha ayah mencari rezeki. Hari saya ambil jubah pun, ayah tetap di sisi,” katanya.
Faris berpegang pada prinsip untuk tidak pernah melupakan tujuan sebenar menuntut ilmu.
“Setiap langkah jangan lupa Tuhan. Jangan rasa kita terlambat; setiap orang ada fasa masing-masing. Syukuri perjalanan itu,”, ujarnya.
“Jangan pernah rasa terlambat. Yang penting kemahuan untuk belajar dan memberi kembali ilmu itu kepada masyarakat. Hargai proses itu, walaupun perlahan sebab dalam perlahan tu, banyak hikmah Allah beri.”, katanya lagi.
Oleh: Nurul Fathihah Shaipol Azman dan Nur Maisarah Mohd Zaimee