BANGI – Seminar Koperasi Siswa (KOSISWA) 2025 berjaya menghimpunkan lebih 200 pemimpin mahasiswa dari seluruh universiti awam negara menerusi penganjuran selama dua hari bermula 13 hingga 14 Disember 2025 bertempat di Bangi Avenue Convention Centre (BACC) yang disempurnakan oleh Dato’ TPr. Suki Mee, Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
Seminar berprestij ini dianjurkan secara bersama oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Koperasi Siswa Universiti Sains Islam Malaysia (KOSISWA USIM), Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti Malaysia (MAKMUM) serta Pusat Keusahawanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Seminar ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara pemimpin koperasi siswa, pentadbir universiti, wakil agensi kerajaan, pakar industri serta mahasiswa dari pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh negara. Program ini turut berperanan sebagai medan perkongsian ilmu, pengalaman dan idea dalam usaha memperkasa peranan koperasi siswa di peringkat universiti.
Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian bermakna merangkumi sesi pembentangan, forum interaktif serta perkongsian amalan terbaik. Fokus utama seminar merangkumi aspek tadbir urus koperasi, pembangunan kepimpinan mahasiswa, inovasi perniagaan serta cabaran dan peluang koperasi siswa dalam menghadapi landskap ekonomi semasa dan era digital.
Dalam ucapan perasmian Dato’ TPr. Suki Mee, beliau menegaskan bahawa koperasi siswa memainkan peranan strategik sebagai platform latihan kepimpinan dan keusahawanan kepada mahasiswa, di samping berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi pelajar dan negara secara keseluruhan.
Beliau turut menyeru agar koperasi siswa terus diperkasakan melalui tadbir urus yang cekap, penglibatan aktif mahasiswa serta sokongan berterusan daripada pihak universiti dan agensi berkaitan. Menurut beliau, koperasi siswa berupaya menjadi tapak melahirkan generasi pemimpin dan usahawan muda yang berintegriti, berdaya saing serta berorientasikan pembangunan mampan.
Seminar ini turut disertai oleh peserta daripada pelbagai universiti awam antaranya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
Penganjuran Seminar Koperasi Siswa 2025 ini diharapkan dapat memberi manfaat berterusan kepada para peserta serta menjadi pemangkin kepada pembangunan koperasi siswa yang lebih progresif, mampan dan relevan dengan keperluan semasa. Usaha ini sekali gus mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam membina ekosistem keusahawanan mahasiswa yang kukuh dan berimpak tinggi.



