NILAI – Membudayakan inovasi dan peranan sebagai penyelidik muda dalam kalangan mahasiswa, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Pertandingan Inovasi Quran Sunnah Penyelidik Muda 2.0 (IQSPM 2.0) 2026 pada baru-baru ini.

Program selama sehari ini berjaya menarik penyertaan 260 orang mahasiswa Tahun 4 daripada program Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dan Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat.

Menurut Pengarah Program IQSPM 2.0, Saudara Muhammad Asyraaf Mohd Azlan, pertandingan tersebut bertujuan untuk memupuk kemahiran penyelidikan dan inovasi dalam kalangan mahasiswa, menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif berasaskan wahyu, meningkatkan profil graduan USIM sebagai individu holistik, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.

“IQSPM 2.0 bukan sahaja menguji kefahaman teori mahasiswa, malah ia menyediakan platform kepada mahasiswa untuk menterjemahkan ilmu dan kefahaman dalam bidang Quran dan Sunnah kepada idea serta penyelesaian inovatif yang relevan dengan isu-isu semasa”.

“Ia juga memberi ruang kepada mereka mengaplikasikan ilmu berteraskan wahyu bagi menangani cabaran kontemporari, khususnya yang melibatkan pembangunan sosial dan komuniti,” katanya yang merupakan pelajar Tahun 4 Program Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah.

Penganjuran pertandingan ini selari dengan pelaksanaan Model Graduasi Integrasi Ilmu Aqli dan Naqli (GIINA) di USIM, sekali gus memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan mahasiswa.

Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta membentangkan projek inovasi masing-masing di hadapan panel penilai yang terdiri daripada pensyarah FPQS berpengalaman dalam bidang Quran, Sunnah dan penyelidikan. Pembentangan tersebut dinilai berdasarkan aspek inovasi, kebolehlaksanaan serta kesesuaian dengan prinsip-prinsip wahyu.

Pengurusan FPQS melihat tahap kreativiti dan kualiti idea yang dipamerkan oleh para peserta menunjukkan potensi besar mahasiswa dalam menyumbang penyelesaian berimpak kepada masyarakat.Pencapaian ini membuktikan mahasiswa bidang Quran dan Sunnah mampu tampil dengan idea yang dinamik, progresif dan selari dengan keperluan semasa.

Dalam Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Inovasi yang disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Syed Najihuddin Syed Hassan, Penyelaras Kursus Kajian Quran dan Hadith di Era ICT, sebanyak 20 inovasi menerima penarafan pingat emas, 20 pingat perak dan 31 menerima pingat gangsa. Projek Virtual Reality (VR) : Lessons from Quranic and Prophetic Animal Story in Shaping ADHD and Authistic Children telah dipilih sebagai pemenang inovasi terbaik IQSPM 2.0.

Penganjuran IQSPM 2.0 yang turut mendapat kerjasama dari Pusat Wakaf dan Zakat USIM sebagai penaja dilihat sebagai langkah berterusan FPQS dalam memperkukuh peranannya sebagai peneraju inovasi akademik berteraskan wahyu serta menyokong aspirasi USIM sebagai universiti rujukan ilmu Naqli dan Aqli.

Oleh:  Mohd Zaini Othman