NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda Integrasi Ilmu dan kecemerlangan akademik berteraskan industri menerusi kerjasama strategik bersama TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. bagi membangunkan bakat dalam bidang rangkaian perusahaan dan infrastruktur digital.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM dan TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd., sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri bagi menyokong agenda transformasi digital negara. Majlis berlangsung di Lounge Canselori pada 8 Mei 2026 baru-baru ini.
Kerjasama strategik bagi tempoh tiga tahun yang dimeterai melalui MoU itu memberi tumpuan kepada pengintegrasian keupayaan rangkaian perusahaan dalam ekosistem akademik USIM melalui latihan praktikal, pensijilan profesional, pemerkasaan makmal, penyelidikan bersama serta pembangunan bakat pelajar.
Menerusi kerjasama ini, TP-Link Malaysia akan menempatkan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada di makmal kampus USIM bagi membolehkan pelajar mendapat pendedahan langsung kepada infrastruktur bertaraf industri yang mencerminkan sistem perusahaan sebenar.
Inisiatif ini memperlihatkan pendekatan pembelajaran yang melangkaui teori semata-mata apabila pelajar berpeluang mengikuti latihan teknikal secara langsung, bengkel berstruktur serta laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA). Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan USIM bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah turut mempunyai kompetensi industri yang sah, relevan dan diiktiraf.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh hubungan universiti-industri bagi memastikan mahasiswa dilengkapi dengan kemahiran masa hadapan yang selari dengan keperluan ekonomi digital.
Menurut beliau, kolaborasi ini turut menyokong aspirasi USIM dalam melahirkan Muslim Profesional yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, malah beretika, adaptif serta mampu menyumbang kepada masyarakat melalui inovasi, penyelidikan dan khidmat kepakaran.
“Kerjasama ini membolehkan USIM melangkaui penyampaian akademik konvensional dengan menerapkan elemen industri secara langsung dalam pengalaman pembelajaran. Ia memperkukuh pendekatan universiti dalam menyediakan pelajar menghadapi tuntutan sebenar dunia pekerjaan dan ekonomi digital,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Hugo Cai, berkata keperluan industri masa kini menuntut bakat yang bukan sekadar memahami infrastruktur digital, tetapi mampu mengendali dan mengoperasikannya secara berkesan. Justeru, kerjasama ini dilihat mampu membina laluan yang lebih tersusun daripada universiti kepada alam pekerjaan melalui latihan, pensijilan dan pendedahan industri.
Kerjasama ini turut memperkukuh beberapa inisiatif terdahulu antara USIM dan TP-Link, termasuk tajaan peralatan makmal keselamatan rangkaian tanpa wayar, latihan Omada Certified Network Associate (OCNA) kepada staf akademik, serta sumbangan bagi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan makmal.
Melangkah ke hadapan, USIM dan TP-Link akan meneroka kerjasama yang lebih luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi bersama, khususnya rangkaian berpacukan kecerdasan buatan, sistem pintar, program latihan lanjutan, pensijilan profesional, peluasan kemudahan makmal pintar serta peluang latihan industri kepada pelajar.
Kerjasama strategik ini juga selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara yang diperkasa secara digital, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan, Revolusi Perindustrian 4.0 dan teknologi pintar.
Dalam konteks USIM, inisiatif ini memperkukuh mandat universiti untuk mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli dengan keperluan teknologi semasa serta pembangunan industri negara. USIM terus menegaskan peranannya sebagai universiti yang bukan sahaja membangunkan ilmu, malah membentuk bakat berdaya saing tinggi. Kerjasama bersama TP-Link ini diharap dapat melahirkan lebih ramai Muslim Profesional yang bersedia menyumbang kepada tenaga kerja digital negara, ekosistem inovasi dan pertumbuhan ekonomi masa hadapan.

