NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa melalui ekosistem bantuan kewangan, sokongan kebajikan, kemudahan inklusif serta inisiatif berteraskan keperluan pelajar bagi memastikan kekangan kewangan tidak menjadi penghalang kepada kejayaan akademik.

Melalui inisiatif Santun Siswa, USIM menegaskan mandat institusi dalam menyediakan persekitaran kampus yang menyokong, inklusif dan prihatin, khususnya kepada mahasiswa daripada golongan berpendapatan rendah serta memerlukan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi kekal saksama, mampan dan responsif terhadap realiti kehidupan mahasiswa.

Antara mekanisme bantuan yang disediakan termasuk pinjaman kecemasan segera tanpa cagaran, sumbangan kebajikan, skim perlindungan pelajar, bantuan zakat dan infaq, bantuan kesihatan pelajar, food bank siswa/asnaf serta pelbagai bentuk bantuan kebajikan lain yang menyasarkan golongan fakir, miskin dan B40.

USIM turut menyediakan peluang pekerjaan dalam kampus melalui program kerja sambilan pelajar seperti Pembantu Urus Setia dan Pembantu Pentadbiran. Peluang ini membolehkan mahasiswa menjana pendapatan sampingan secara terancang tanpa menjejaskan tumpuan terhadap pengajian dan pembangunan diri.

Dalam aspek keterjaminan makanan mahasiswa, USIM melaksanakan beberapa inisiatif seperti Dapur Siswa Madani dan Menu Kasih Siswa yang menawarkan makanan berkualiti, berkhasiat serta mesra pelajar pada harga berpatutan. Inisiatif ini dilihat sebagai intervensi penting dalam membantu mahasiswa berdepan cabaran kos sara hidup.

Agenda kebajikan USIM turut merangkumi sokongan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) melalui penyediaan kemudahan khas termasuk pengangkutan, penginapan, kemudahan pembelajaran serta sistem pendamping atau buddies. Kemudahan ini memperkukuh iltizam universiti dalam menyediakan akses pendidikan yang lebih inklusif, kondusif dan memperkasa semua kelompok mahasiswa.

Menurut Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, universiti sentiasa berusaha memastikan tiada mahasiswa tercicir daripada pendidikan tinggi hanya disebabkan kekangan kewangan.

“USIM percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang pendidikan yang terbaik. Justeru, pelbagai bentuk bantuan dan intervensi disediakan supaya mahasiswa dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran, pembangunan sahsiah dan pembinaan potensi diri tanpa dibebani tekanan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan kebajikan mahasiswa di USIM tidak hanya tertumpu kepada bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi aspek kesejahteraan menyeluruh, keterjaminan makanan, sokongan kesihatan, peluang pekerjaan dalam kampus serta kemudahan pembelajaran yang inklusif.

“Usaha ini menggambarkan komitmen USIM untuk membangunkan mahasiswa secara holistik, selaras dengan falsafah integrasi ilmu Naqli dan Aqli serta aspirasi melahirkan graduan Muslim profesional yang berdaya tahan, berempati dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Pelaksanaan inisiatif kebajikan ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa serta memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang lebih inklusif, mampan dan saksama.

Masyarakat dan bakal pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan serta inisiatif kebajikan pelajar USIM boleh mengikuti media sosial rasmi PHEP USIM.