NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Sayembara Puisi Pentas Antarabangsa (SEPENA) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Mei di USIM.

Sebagai tuan rumah penganjuran, USIM memainkan peranan penting dalam menyediakan platform kepada peserta tempatan, penjawat awam dan mahasiswa antarabangsa untuk berkongsi bakat, pengalaman serta apresiasi terhadap seni deklamasi puisi dan kesusasteraan Melayu.

Program yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang itu turut menjadi platform penyatuan masyarakat melalui bahasa, budaya dan seni persembahan, sekali gus memperlihatkan komitmen USIM dalam menyokong usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah berkata, program seperti SEPENA bukan sekadar pertandingan seni bahasa, malah menjadi medium diplomasi budaya yang mampu memperkenalkan jati diri bangsa ke peringkat global.

 

Menurut beliau, penyertaan pelbagai kategori peserta termasuk mahasiswa antarabangsa membuktikan bahawa bahasa Melayu masih mempunyai nilai dan daya tarikan tersendiri merentas sempadan negara.

“Dalam dunia yang semakin saling terhubung hari ini, kesusasteraan tidak lagi terbatas dalam lingkungan geografi tertentu, sebaliknya berperanan sebagai medium diplomasi budaya yang memperkenalkan jati diri bangsa serta memupuk hubungan masyarakat antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutupan program.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Abang Haliman bin Abang Julai menegaskan bahawa puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat serta mampu menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai lapisan komuniti.

“Penganjuran SEPENA selaras dengan aspirasi DBP untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa antarabangsa dalam mendepani dunia yang semakin dipengaruhi teknologi serta globalisasi,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa seni persembahan kreatif seperti deklamasi puisi penting dalam mempertahankan bahasa Melayu, selain mampu membina keyakinan, daya fikir kreatif dan kemampuan pengucapan awam generasi muda.

Sementara itu, pemenang kategori tempatan, saudara Ammar Wazif Mahmud dan saudari Nik Fateeha Syuhada Imran yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut bertujuan menimba pengalaman serta memperluas ilmu dalam bidang seni persembahan puisi.

“Menang atau kalah itu belakang cerita. Yang penting kami lakukan yang terbaik dan puas dengan persembahan yang dibawa,” kata Nik Fateeha ketika ditemu bual selepas pertandingan.

Mereka turut berkongsi cabaran sepanjang persediaan pertandingan termasuk kekangan masa latihan yang singkat, namun sokongan daripada pihak universiti dan pusat kebudayaan menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

Program SEPENA 2026 turut membuka ruang pengantarabangsaan bahasa Melayu melalui jaringan kerjasama institusi dan penyertaan peserta daripada pelbagai latar belakang.

Penganjuran program tersebut diharap dapat diteruskan sebagai platform berprestij dalam bidang deklamasi puisi dan kesusasteraan Melayu, sekali gus melahirkan generasi pewaris yang mampu mengangkat bahasa dan budaya bangsa ke pentas dunia. 

Oleh: Aina Farzana Faizul Anuar dan Ihsan Hakim Zefendy