NILAI– Kecemerlangan akademik dan kesungguhan mengejar cita-cita menjadi asas kejayaan seorang pelajar baharu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Sarah Irdina Azim, 18, apabila beliau berjaya menerima tajaan pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meneruskan pengajian dalam bidang pergigian.

Sarah Irdina, yang berasal dari Kelantan, merupakan alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh dan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan pencapaian 6A+ dan 4A.

Beliau kini melanjutkan pengajian di USIM, mendaftar menerusi program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains bagi Sesi Akademik 2026/2027 pada 16 Jun 2026 baru-baru ini, sebagai langkah awal merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang doktor gigi Muslim profesional yang mampu berbakti kepada masyarakat.

Menurut Sarah, peluang menerima tajaan MARA menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik, di samping mempersiapkan diri sebagai graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional, malah memiliki nilai integriti, amanah dan keprihatinan terhadap masyarakat.

“Peluang ini sangat bermakna kepada saya kerana ia bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, tetapi turut memberi motivasi untuk saya terus berusaha mencapai impian sebagai doktor gigi.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya ketika ditemu bual selepas sesi pendaftaran pelajar Tamhidi USIM bagi Sesi Akademik 2026/2027.

Berkongsi pengalaman memohon tajaan pendidikan, Sarah menasihatkan pelajar lepasan SPM supaya memberi perhatian serius terhadap penyediaan resume dan dokumen permohonan. Menurut beliau, pencapaian akademik yang baik perlu disokong dengan penyediaan permohonan yang kemas, lengkap dan menepati format ditetapkan oleh badan penaja.

“Salah satu punca permohonan ditolak adalah kerana resume yang disediakan tidak mengikut format yang ditetapkan oleh badan pemberi tajaan. Resume yang kurang berkualiti boleh menyebabkan permohonan sukar diluluskan, walaupun seseorang calon mempunyai keputusan SPM yang cemerlang,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, guru-guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya. Katanya, dorongan berterusan daripada insan sekeliling menjadi antara faktor penting yang membantu beliau mengekalkan prestasi cemerlang.

Kejayaan Sarah membuktikan bahawa tajaan pendidikan bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan strategik dalam membangunkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan berupaya memberi sumbangan bermakna kepada agama, ummah dan negara.

Dalam konteks USIM, kejayaan ini juga seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan generasi Muslim profesional yang mengintegrasikan kecemerlangan ilmu, kemahiran profesional dan nilai Islam dalam kehidupan serta kerjaya.

Sarah turut menitipkan pesanan kepada pelajar lain agar tidak mudah berputus asa sekiranya pernah berdepan kegagalan dalam permohonan tajaan pendidikan.

“Sekiranya pernah mengalami kegagalan dalam mana-mana permohonan tajaan pendidikan sebelum ini, kita perlu bangkit semula dan terus mencuba. Apabila kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, percayalah bahawa Allah SWT akan memberikan rezeki-Nya dari arah yang tidak disangka-sangka,” katanya.

Oleh: Iqbal Ilyas bin Mohd Nordin