NILAI– Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disambut penuh bermakna dalam suasana keberkatan dan ukhuwah warga kampus menerusi penganjuran majlis yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), USIM pada 18 Jun 2026.
Majlis yang menghimpunkan warga universiti termasuk pelajar baharu Tamhidi bagi Sesi Akademik 2026/2027 itu membawa tema “Madani Dihayati, Ummah Diberkati”, selaras dengan usaha USIM memperkukuh penghayatan nilai hijrah dalam pembentukan sahsiah Muslim profesional yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.
Program anjuran Pusat Islam USIM dengan kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat USIM itu telah disempurnakan oleh YAM Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM.
Dalam titah perasmiannya, YAM Tunku Panglima Besar menyeru warga USIM agar menjadikan semangat hijrah sebagai asas kepada perubahan menyeluruh, khususnya dalam memperkukuh jati diri, akhlak, budaya kerja cemerlang, ukhuwah dan integriti dalam setiap tindakan.
“Kita perlu menyuburkan budaya kerja yang cemerlang, memperkukuh ukhuwah, serta memupuk nilai integriti dalam setiap tindakan. Inilah makna hijrah yang sebenar, perubahan ke arah kebaikan yang berterusan, agar USIM terus melangkah dengan lebih yakin dan berupaya mengangkat peranannya ke persada antarabangsa,” titah baginda.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, dalam ucapan aluannya mengajak warga universiti untuk terus menghayati nilai-nilai MADANI dalam kehidupan seharian, termasuk dalam ruang ilmu, penyelidikan dan hubungan sesama warga kampus.
Menurut beliau, nilai tersebut tidak seharusnya sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Nilai-nilai ini tidak seharusnya sekadar terpahat sebagai slogan, tetapi perlu dizahirkan dalam setiap kuliah, penyelidikan dan interaksi harian kita. Penghayatan inilah yang akan melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga diberkati dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Bersempena sambutan tersebut, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah USIM kepada penerima terpilih bagi beberapa kategori, iaitu Pusat Tanggungjawab, Rakan Strategik, Staf Akademik, Staf Pengurusan, Staf Pelaksana dan Pelajar.
Bagi kategori Pelajar, anugerah tersebut telah dianugerahkan kepada Saudara Haikal Nazhan bin Hamdan, mantan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perkasa Siswa dan mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM Sesi Akademik 2024/2025, sebagai penghargaan atas sumbangan dan komitmen beliau dalam kepimpinan mahasiswa.
Dalam majlis yang sama, YAM Tunku Panglima Besar turut menzahirkan ucapan selamat ulang tahun kepada USIM sempena sambutan ulang tahun penubuhan universiti yang ke-26. Baginda berharap agar sambutan ulang tahun yang bertepatan dengan Sambutan Maal Hijrah 1448H itu menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Penganjuran Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat USIM ini bukan sahaja memperkukuh penghayatan terhadap peristiwa hijrah Rasulullah SAW, malah menjadi wadah penting dalam menyemai nilai muhasabah, perubahan diri, kecemerlangan ilmu dan integriti dalam kalangan warga universiti.
Ia turut mencerminkan komitmen USIM dalam melahirkan generasi Muslim profesional yang mampu mengintegrasikan ilmu, nilai Islam dan kepakaran profesional demi menyumbang kepada pembangunan ummah, masyarakat dan negara.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin dan Wan Najian Putri Wan Mohd Lotpi

