NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan antarabangsa dan peranannya sebagai pemangkin pengantarabangsaan ummah menerusi penganjuran USIM International Leadership & Islamic Civilization Programme (ILICP) 2026 pada 6 Ogos 2026 baru-baru ini.

Program anjuran USIM ‘Alamiyyah itu melibatkan delegasi komuniti Masjid Muhammad (The Nation’s Mosque) dari Washington D.C., Amerika Syarikat yang diketuai Presidennya, Imam Dr. Talib M. Shareef bersama ahli kariah masjid berkenaan.

Dalam sesi pertemuan khas sempena program tersebut, Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyampaikan cenderamata berupa naskhah al-Quran bermotifkan seni warisan Malaysia kepada Imam Dr. Talib dan delegasi.

Menurut beliau, pemberian naskhah suci berkenaan membawa nilai sentimental dan menjadi simbol kemesraan serta keharmonian masyarakat Islam di Malaysia.

“Pemberian naskhah al-Quran berunsurkan motif seni dan identiti Malaysia ini diharap bukan sekadar menjadi tanda ingatan, malah sentiasa menggamit memori indah serta mengingatkan para delegasi terhadap keharmonian Islam dan keramahan masyarakat di bumi Malaysia setiap kali mereka membukanya,” katanya.

Sepanjang berada di USIM, delegasi mengikuti siri jelajah kampus bagi melihat secara dekat pelaksanaan ekosistem integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras pendidikan universiti.

Antara fasiliti yang dikunjungi ialah Makmal Kaunseling dan Studio Radio di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Makmal Hadis dan Makmal Tarannum di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Institut Fatwa dan Halal (IFFAH), Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) menerusi Genba Bakery serta Perpustakaan USIM.

Delegasi turut diberi pendedahan mengenai pendidikan inklusif di Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), termasuk pengenalan kepada asas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) serta kemudahan Makmal Braille.

Selain pendedahan akademik, peserta turut berpeluang mendalami keunikan budaya dan kehidupan masyarakat tempatan menerusi lawatan ke Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi di Negeri Sembilan.

Di Kuala Pilah, delegasi menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat seperti mengacau dodol dan menangkap ikan secara tradisional, selain melaksanakan khidmat komuniti di Surau Jumaat Al-Ikhlas, Desa Cempaka.

Mengulas mengenai impak penganjuran program berkenaan, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan ILICP 2026, di samping menyatakan harapan agar USIM terus memainkan peranan sebagai penggerak kepada pembangunan masyarakat Islam di peringkat antarabangsa.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak USIM ‘Alamiyyah, khususnya Prof. Madya Dr. Sofia Hayati Yusoff serta pasukannya, StraComm, StraComm Clique dan juga Puan Nurul Yasmin Abdullah selaku pegawai Education Malaysia di Washington yang banyak membantu mempromosikan program ini.

“Kita melihat USIM bukan sahaja sebagai pemangkin pengantarabangsaan, tetapi sebagai satu nukleus untuk membantu masyarakat Islam ke arah yang lebih baik, sama ada di Amerika, Eropah mahupun Asia. Kita doakan bersama agar kebaikan yang ditunjukkan oleh warga USIM ini memberi manfaat kepada seluruh dunia demi kepentingan ummah,” katanya.

Penganjuran ILICP 2026 mencerminkan komitmen USIM dalam memperluas jaringan antarabangsa menerusi perkongsian ilmu, pertukaran budaya dan khidmat komuniti, sekali gus memperkukuh keterlihatan universiti sebagai institusi yang membawa pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli ke peringkat global.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar, Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Nur Khadija Sulaiman