SEOUL,KOREA, 27 SEPT 2015 – Seramai 22 pelajar Tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi dibawah seliaan Dr. Sakinah Ali Pitchay telah bermahabbah menyantuni masyarakat sekitar Seoul, Korea selama 6 hari bermula 22 hingga 27 September 2015 yang lalu. Program yang bertemakan Kembara Mahabbah Ummah di bumi Seoul Korea, anjuran Global Islamic Students Outreach (GISO) USIM telah berjaya dilaksanakan.
Peluang mengunjungi dua universiti terkemuka di Korea amat mengujakan peserta sepanjang mengikuti GISO ini kerana berpeluang bertutur menggunakan Bahasa Melayu dengan siswa di sana. Di Universiti Hankuk misalnya terdapat 30 orang pelajar tempatan Korea mampu bertutur dalam bahasa Melayu dan Indonesia dengan lancar ibarat berada di tanah air sendiri.
Kunjungan ke universiti paling berprestij di negara Korea iaitu Seoul National University (SNU) pula disambut dengan kata aluan Bahasa Melayu yang dituturkan fasih oleh pelajar SNU. Peserta juga berpeluang melawat sekitar universiti serta bertukar pendapat bersama Majlis Pimpinan Pelajar. Melihat rakyat Korea mampu bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, ia sekaligus membuktikan bahasa ibunda itu indah apabila lebih dihayati dan dipelajari.
Menurut pengarah program, Mudzfirah Abdul Halim, pelbagai aktiviti dan pengisian ilmiah telah dijalankan bersama masyarakat Seoul menepati objektif GISO antaranya program “Qurban Insaniah” di Masjid Itaewon pada Hari Raya AidilAdha, program “Wonder Korea” yang membawa misi menyebarkan dakwah Islamiyah di beberapa tempat menarik di Korea dan program “Coffee House: AnnyeongHaseyo” bersama pelajar tempatan di beberapa buah universiti terkemuka Korea. Ia secara langsung menjalin ukhuwah delegasi GISO USIM dengan masyarakat di sana tidak mengira latar belakang.
“Pengalaman lawatan ke negara Korea dimana jumlah penduduk Islam minoriti sememangnya amat berharga dan mencabar. Negara tersebut memperlihatkan perbezaan ketara antara Malaysia dan Korea terutamanya dari segi aspek kebersihan, menepati waktu, dan disiplin.”
“Perbincangan santai bersama Imam besar Masjid Itaewon dan wakil Korean Muslim Federation(KMF) ringkas namun sarat dengan perkongsian Islamik yang nyata boleh membuka mata serta minda peserta agar lebih menghargai dan menghayati kebebasan untuk mempraktikkan agama masing-masing tanpa sebarang halangan di negara Malaysia umumnya”. Ujarnya.
Sumbangan turut dihulurkan sebagai kenangan kepada Masjid Itaewon, antaranya 30 naskah Al- Quran, 20 naskah risalah bercetak dalam dwibahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea serta plak penghargaan. Menurut Imam Besar tersebut, mereka kini di Korea harus bersedia untuk menerima Islam dengan lebih terbuka dengan menyediakan lebih banyak ruang solat dansebagainya untuk memenuhi permintaan sebagai negara antarabangsa.
Misi mereka juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar pertukaran antarabangsa yang berdarah Amerika dan Melayu, Sabiel Rose ketika solat berjemaah AidilAdha di masjid tersebut. Hasil rundingan pihak kami dengan KMF, Sabiel Rose dapat berhubung dengan KMF bagi membantu beliau dari segi ilmu agama dan yang berkaitan sepanjang berada di Korea.
Melalui program ini juga, peserta dapat berkenalan dengan beberapa masyarakat bukan Islam sepanjang program disana terutamanya ketika melakukan aktiviti tadabbur alam serta mengadakan aktiviti dakwah jalanan di Istana Gyeongbokgong dan Pulau Nami. Masyarakat sekitar ternyata berminat dan teruja dengan kehadiran peserta terutamanya apabila melihat peserta perempuan bertudung dan berkongsi rasa ingin tahu tentang pemakaian tudung dan budaya islam dengan lebih mendalam. Aktiviti kad imbas tentang makanan Sunnah Rasulullah yang diadakan nyata mendapat perhatian ramai serta respon yang diterima sangat menggalakkan.
Program pengantarabangsaan ini telah mewujudkan semangat kerjasama yang tinggi di kalangan peserta dan memberi peluang untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman yang belum pernah diperolehi di negara Malaysia. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjalankan program ini secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan kembara dakwah ini.
Disediakan oleh:
Mudzfirah Abdul Halim
(Pengarah Program Kembara Mahabbah Ummah di bumi Seoul Korea 2015)
Dikemaskini oleh:
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204