PETALING JAYA, 29 Mei – Sebagai salah satu kaedah pembelajaran di luar bilik kuliah, para pelajar Tahun 4 Program Sarjana Muda Syariah & Undang – Undang (SMSU), telah berpeluang menyertai lawatan sambil belajar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya anjuran Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lawatan ini diadakan bagi memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar terhadap perkara – perkara yang berkaitan dengan undang – undang keterangan atau pembuktian yang mereka pelajari secara teori selama dua semester di universiti. Ini merupakan lawatan kali kedua ke Jabatan Kimia yang mana kali pertama pada tahun 2010.

Sepanjang program ini, pelbagai bahagian utama yang terdapat di Jabatan Kimia Malaysia telah dilawati oleh para pelajar terbabit seperti Bahagian Kriminalistik yang secara amnya mengendalikan pemeriksaan ke atas bahan bukti fizikal yang berkaitan dengan kes jenayah yang meliputi pemeriksaan senjata api, pemeriksaan kenderaan, bahan bukti surih dan cekera optik cetak rompak serta penyiasatan tempat kebakaran.

Di Bahagian Pemprofilan Forensik DNA misalnya,  pelajar dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Pemprofilan DNA yang sangat penting bagi digunakan untuk menyelesaikan kes – kes jenayah berat seperti bunuh, rogol/gangguan seksual, pengenalpastian mayat, kes pembuangan bayi, rompakan dan lain – lain.

Menurut salah seorang peserta ”Antara bahagian lain yang menarik juga adalah, Para Bahagian Perkhidmatan Pemeriksaan Dokumen yang bertanggungjawab dalam mengendalikan pemeriksaan tulisan tangan, tandatangan, dan pengubahsuaian dokumen”.

”Aktiviti lawatan ini menjadi satu aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh pelajar kerana kami berpeluang untuk meneroka pengetahuan baru diluar kelas dan ianya memberi pelbagai impak positif kepada kami yang mengambil bidang undang –undang.” tambahnya lagi.

Lawatan sambil belajar seperti ini sebenarnya menjadikan proses pembelajaran itu lebih efektif bagi meningkatkan minat pelajar terhadap sesuatu subjek dan boleh mengatasi masalah kebosanan mereka kerana ia mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang berbeza.

Disediakan oleh :
Dr. Muzafar Syah Mallow
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang (FSU)

Disunting oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)