SUNGAI BULOH – “ Enam tahun tanpa kunjungan sesiapa akhirnya terubat juga rindu yang amat mendalam kepada anak- anak sendiri” begitulah kata-kata tulus dan suci yang terungkap dari naluri seorang ibu, salah seorang penghuni Kompleks Penyayang Bakti Sungai Buloh, Selangor semasa menerima kunjungan Urusetia Kesenian Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sempena Program One Day Community Care II (ODCC) yang berlangsung pada 12 Mei baru-baru ini.

One Day Community Care merupakan salah satu aktiviti tahunan dibawah siri Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa (PTKM) yang menekankan aspek Kesedaran Sosial dikalangan mahasiswa USIM. Program ODCC kali ini merupakan penganjuran kali kedua  selepas Taman Sinar Harapan Tuanku Najihah, Seremban Negeri Sembilan yang telah berlangsung pada tahun 2011.

One Day Community Care II  telah dianjurkan oleh Unit Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan telah disertai seramai 43 mahasiswa dan mahasiswi dari Urusetia Kesenian Pelajar yang aktif dalam program seni budaya serta 43 penghuni Kompleks Penyayang Bakti yang terdiri dari anak- anak yatim, kanak- kanak lemah pelajaran, warga emas dan ibu tunggal.

Kompleks Penyayang Bakti Sungai Buloh telah ditubuhkan pada  tahun 2002 hasil gabungan tenaga Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (BAKTI) sebagai badan NGO, Tetuan Yarisan Holding Sdn. Bhd (badan swasta) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (badan kerajaan).

Menurut Encik Ismail Ahmed, Pegawai Kebudayaan BHEP USIM, idea melahirkan ODDC ini selari dengan senario masyarakat  hari ini yang semakin lupa akan tanggunjawab sosial yang sepatutnya dipikul bersama dalam memastikan perancangan kearah mencapai negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Soal kebajikan dan kurangnya keperihatinan antara satu sama lain seperti menjadi budaya semasa.

Tambahnya lagi, kadang- kadang situasi ini juga berlaku dalam kehidupan seharian kita bersama keluarga.  Gejala negatif ini akhirnya memperlihatkan tempias kesibukan dalam arus kemodenan dengan pelbagai isu sosial yang semakin ketara. Antara isu yang sering hangat diperkatakan ialah isu pembuangan bayi, pengabaian kepada ibubapa yang uzur dan tua serta juga kes penderaan kanak-kanak. Semua kisah realiti ini lebih menyedihkan apabila masyarakat mula menuding jari dan meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain sedangkan masyarakat sepatutnya bertanggungjawab dalam mempastikan persekitaran menjadi lebih selamat dengan saling tegur-menegur, nasihat-menasihati menjadi budaya yang sepatutnya kita amalkan bersama kata beliau mengakhiri bicara.

Justeru, penglibatan dan pengalaman yang diperolehi mahasiswa USIM dalam program One Day Community Care akan menambahkan nilai murni untuk berkhidmat kepada masyarakat apabila tamat pengajian kelak.

ODCC terbahagi kepada tiga pendekatan utama iaitu One Personal Touch, One Pocket Motivation dan One Arts Therapy yang memberi peluang kepada Urusetia Kesenian Pelajar USIM memberi khidmat seperti berkongsi perasaan, membantu menyediakan keperluan harian penghuni, motivasi berkumpulan menggunakan kaedah Islam seperti tazkirah dan kem solat, menghayati lagu- lagu patriotik, bermain alat muzik dan akhir sekali segmen paling disukai oleh penghuni iaitu One Arts Therapy yang mempersembahkan Kesenian 1 Malaysia seperti Dikir Barat, muzik akustik, nyanyian lagu patriotik, pantun, tarian zapin.

“Pendedahan seperti ini amat bermanfaat kepada mahasiswa USIM supaya dapat mengetahui kehidupan sebenar penguni disamping berpeluang memberi khidmat kepada masyarakat terutamanya kepada komuniti yang kurang upaya dan istimewa,” ujar Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin bin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  USIM. Program ODCC ini amat bersesuaian dengan matlamat utama PTKM  merujuk kepada USIM KRA1 yang mementingkan kecemerlangan mahasiswa dari segi sahsiah terutamanya dalam mewujudkan kesedaran sosial.
Segmen One Arts Therapy turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal Roy dengan persembahan bertenaga dan penuh patriotik.

“Pelajar sepatutnya mendedahkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan seperti ini daripada melibatkan diri dengan aktiviti tidak berfaedah seperti demonstrasi  jalanan ataupun perhimpunan haram dimana boleh merosakkan jati diri pelajar itu sendiri malahan memporak- perandakan negara,” kata Roy.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh  Yang Berbahagia  Profesor Dato’ Dr. Mohamed Asin bin Dollah, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  USIM yang turut dihadiri oleh Encik Nur Ramizy Ariffin, wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Oleh: Ismail Ahmed, EB Syawani Sazali & EB Nooha Arshad.