NILAI, 7 April 2020 – Inisiatif dan usaha pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membantu anggota kesihatan barisan hadapan dengan menghasilkan pelindung muka (face shield) bagi kegunaan mereka dihargai pelbagai pihak. Penghasilan pelindung muka yang diketuai oleh Dr. Mohd Ifwat Mohd Ghazali adalah menggunakan teknologi Mesin Cetakan 3 Dimensi (3D).

Menghargai usaha yang diterajui oleh USIM dalam melindungi keselamatan dan memudahkan anggota kesihatan barisan hadapan menjalankan tugas mencabar memerangi COVID-19, Majlis Dato’- Dato’ Kurnia Negeri Sembilan (MDDKNS) berbesar hati menghulurkan sumbangan kewangan sebanyak RM8,000.00 kepada Jemaah Profesor USIM (JPU). Sumbangan yang diberikan ini bertujuan untuk pembelian tiga unit Mesin Cetakan 3D baharu sebagai tambahan kepada lima unit Mesin Cetakan 3D yang dimiliki USIM kini.

Penyampaian sumbangan oleh MDDKNS kepada JPU yang diadakan pada baru-baru ini disempurnakan Setiausaha MDDKNS, Dato’ Amiruddin Radzi kepada wakil JPU, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Taufik Mohd Nor dan Dr. Mohd Ifwat dengan disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Aseh Che Mat selaku Yang Dipertua MDDKNS.

Menurut Dr. Mohd Ifwat, beliau dan pasukannya amat menghargai sumbangan kewangan yang diberikan ini kerana dengan tambahan unit Mesin Cetakan 3D yang akan diterima nanti, ia sekaligus dapat meningkatkan kuantiti pelindung muka yang dapat disiapkan dalam sehari.

“Permintaan dan keperluan kepada pelindung muka amat tinggi  di hospital dan klinik kesihatan pada masa kini dan USIM cuba penuhi dan membantu menyediakannya sebagai satu tanggungjawab sosial universiti. Justeru, kita kini beroperasi 24 jam di Tapak Penyelidikan Rumah Mizan USIM menggunakan Mesin Cetakan 3D sedia-ada dengan purata setiap mesin mampu menghasilkan 5 ke 10 unit face shield sehari”.

“Alhamdulillah, selain menerima sumbangan tiga unit mesin dari MDDKNS, kita juga gembira apabila JPU turut sama menyumbang dana untuk perolehan empat unit lagi Mesin Cetakan 3D. Proses perolehan keseluruhan tujuh unit Mesin Cetakan 3D hasil sumbangan MDDKNS dan JPU telah dibuat dan kita akan menerimanya dalam sedikit masa lagi”.

Sehinggi kini sebanyak 360 pelindung muka lengkap bersama pelindung plastik pakai buang telah berjaya disiapkan dan disumbangkan kepada anggota barisan hadapan yang bertugas di Hospital Ampang, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Rembau dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan. Usaha dan inovasi USIM untuk membantu barisan hadapan dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki pensyarah turut mendapat pujian dan pengiktirafan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad ketika melakukan lawatan ke Bilik Gerakan COVID-19 USIM pada Jumaat lalu.

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan