REMBAU – Seramai 40 orang pelajar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), diiringi penasihat program iaitu Prof. Madya Dr Sakinah Ali Pitchay bergerak aktif bagi menjayakan program Jaulah Sukarelawan USIM (Semarak Siswa Madani): Daerah Rembau. Program anjuran Sekretariat pelajar Fakulti Sains dan Teknologi dengan kerjasama MyFundAction diadakan di Balai Raya Kg. Pilin, Rembau, Negeri Sembilan bersama anak-anak Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim & Miskin (PEYAKIN) Negeri Sembilan.
Program ini mendapat sumbangan dari Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertujuan memberi peluang kepada warga USIM mengeratkan ikatan silaturrahim dengan komuniti khususnya masyarakat luar bandar. Pemindahan ilmu yang bermanfaat telah dikongsikan oleh mahasiswa dan penceramah jemputan berkaitan dengan ilmu Sains, Teknologi dan Agama. Selain itu, pelbagai aktiviti menarik telah dilakukan bersama komuniti kampung seperti “Explorace”. Bagi kanak-kanak, pengisian kuiz sirah oleh mahasiswa USIM dan aktiviti menanam pokok secara hidroponik yang diketuai oleh Encik Azral dan Encik Wali dari Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.
Menurut Pengarah program, Ismail Bin Dasrul, mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi, aktivti-aktiviti seperti ini seharusnya diadakan dengan lebih kerap bagi merapatkan jurang antara mahasiswa universiti dengan komuniti luar bandar.
“Dengan peralihan arus teknologi semasa, masyarakat di negara kita, luar bandar khususnya, perlu mengadaptasi dengan perkara-perkara yang berkait dengan Sains dan Teknologi bagi mengelakkan diri mereka senang diperdaya dan meningkatkan minat dalam bidang yang semakin kurang dimonopoli di peringkat universiti”, ujarnya lagi.
Program dimulakan dengan persembahan nasyid dari kanak-kanak sebagai tanda solidariti bersama negara Palestin yang sedang bergolak dan majlis penutup diakhiri dengan penyerahan barangan keperluan persekolahan dan sumbangan hamper kepada 30 orang anak-anak yatim PEYAKIN yang hadir pada program ini. Sesi fotografi juga telah diadakan bersama-sama kanak-kanak Persatuan Anak-anak Yatim dan Miskin PEYAKIN dan beberapa wakil NGO yang turut hadir bersama.
Program ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah di kalangan mahasiswa USIM dan juga komuniti luar bandar serta memupuk semangat kesukarelawanan. Justeru itu, ia memberi peluang khususnya mahasiswa USIM mendekati secara dekat dengan komuniti dan mendidik rasa syukur pada diri melalui hubungan dua hala sepanjang aktiviti dijalankan.