NILAI, 17 Disember 2019- Dengan motto yang dibawa ‘Bersama Memacu Aspirasi’, Majlis Perwakilan Pelajar 2019/2020 bergerak berganding bahu dalam merealisasi tanggungawab dan kepercayaan yang diberikan oleh mahasiswa-mahasiswi USIM bersama empat dasar yang ingin difokuskan iaitu Kebajikan Holistik, Pembangunan Intelektual, Profesional Mahasiswa dan Kesatuan Pelajar.

Apa yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua Muhammad Danial Akmal Hamdan mendapat reaksi yang positif dari para mahsiswa USIM.

”Menjadi kewajipan dan tanggungjawab kami sebagai MPP adalah sentiasa cakna berkaitan kebajikan disamping berusaha memperkemas idea dan saluran bantuan kepada mahasiswa USIM agar dapat meringankan beban sekaligus serius dalam hal ehwal kebajikan mereka”.

Yang kedua, Pembangunan Intelektual iaitu percambahan idea yang kritis hasil daripada penjanaan ilmu boleh dilakukan melalui diskusi ilmiah, forum, wacana intelek dan sebagainya. Pasukan MPP akan memastikan mahasiswa USIM mampu membentuk idealisme tersendiri yang dibuktikan melalui terkehadapannya mereka dalam melontarkan suara pandangan dan kritikan demi memacu USIM ke persada yang lebih tinggi sekaligus dapat membina negara ini ke arah yang lebih maju ke hadapan melalui dasar pembangunan intelektual hasil dari ruang keterbukaan ini.

Muhammad Danial Akmal menambah lagi, dasar ketiga adalah Profesional Mahasiswa, dimana  Profesionalisme merupakan aspek penting dalam melahirkan mahasiswa yang berkualiti. Kepentingan ini perlulah dipasak dalam setiap jiwa mahasiswa agar mereka berupaya memelihara imej profesional dalam diri. Dasar ini akan melahirkan mahasiswa yang membudayakan professionalisme dalam aspek personaliti, etika dalam bekerja serta mempunyai nilai integriti yang tinggi.

Tambahan lagi jelasnya, kebolehpasaran mahasiswa perlulah menjadi dasar yang konkrit agar menjadi nilai tambah kepada para graduan USIM. Bertekad untuk menumpukan aspek kebolehpasaran graduan agar dipandang tinggi oleh industri tempatan dan antarabangsa yang melibatkan aspek insaniah yang menjadi tunjang kepada pembangunan mahasiswa dalam segenap aspek seiring dengan Plan Strategik USIM 2016-2025 iaitu melahirkan mahasiswa yang holistik.

Seterusnya dasar keempat adalah Kesatuan Pelajar, dimana usaha untuk menerapkan dalam diri mahasiswa USIM semangat “sense of belonging” dan menterjemah hasrat “centre of collaboration” dalam memacu aspirasi mahasiswa yang lebih mapan.

“Sense of belonging” atau semangat kepunyaan ini dilihat dapat memberikan rasa tanggungjawab dan amanah kepada mahasiswa khususnya untuk bersama-sama menggerakkan keempat dasar yang kami nyatakan sebentar tadi iaitu kebajikan, intelektual, professional dan kesatuan pelajar. Manakala “centre of collaboration” yang berhasrat untuk menjadikan MPP sebagai pusat kerjasama, medan rujukan, dan penggerak idea dalam menyatukan mahasiswa USIM melalui platform Dewan Syura Siswa (DESIS), Ijtima’ Tullabi, “USIM Week”, dan beberapa inisiatif yang sedang dan bakal direncana”.

Seramai hampir 2000 mahasiswa hadir  sesi Lafaz Ikrar dan Penyampaian Watikah MPP sesi 2019/2020.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan