PORT DICKSON – Seramai 31 orang terdiri daripada pelajar dan pegawai pengiring menyertai Program Kembara Prihatin Bersama Orang Asli anjuran bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung di Kampung Orang Asli Sunggala, Port Dickson.
Program yang berlangsung pada 14 Mei 2025 baru-baru ini disusun dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya melukis mural di Balai Raya, gotong-royong membersihkan kampung, pembersihan surau dan tandas awam, serta sukaneka bersama kanak-kanak Orang Asli. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti tempatan, malah menjadi platform pertukaran budaya dan nilai antara pelajar Malaysia dan Brunei.
Menurut Pengarah Program, Nur Irdina Syahirah Shamzulnizam, pelaksanaan program ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pelbagai cabaran perlu dihadapi sejak di peringkat perancangan lagi.
“Antara cabaran utama termasuklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta penyesuaian aktiviti dengan komuniti setempat. Memandangkan program ini dijalankan pada hari bekerja dan hari persekolahan, kehadiran penduduk agak terhad. Oleh itu, kami terpaksa mengubah suai tentatif agar aktiviti tetap relevan dan memberi manfaat,” jelas beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Zakat USIM, Perpustakaan USIM, LaundryBar Nilai, UNISSA Brunei serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM atas sokongan dan sumbangan yang bagi menjayakan program ini.
“Saya menyeru agar mahasiswa USIM lebih giat menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan bersama komuniti luar. Semoga kolaborasi dengan universiti-universiti luar negara seperti UNISSA dapat diteruskan dan diperluaskan lagi. Dalam masa sama, saya berharap lebih banyak syarikat tampil memberikan tajaan serta sokongan kepada program berbentuk tanggungjawab sosial seperti ini,” tambah beliau.
Sementara itu, wakil UNISSA Brunei, Fatin Zahidah Zahirah Hasnan, yang juga Exco Kolej Kediaman Siswi UNISSA, menyifatkan program ini sebagai satu peluang bermakna untuk memperkukuh hubungan dua hala antara UNISSA dan USIM.
“Program ini membuka ruang kerjasama dalam bidang kepimpinan pelajar dan kemasyarakatan. Kami berpeluang melihat bagaimana MPP USIM mengurus aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong di Kampung Orang Asli Sunggala dan program pembangunan pelajar seperti bazar malam di kolej kediaman,” katanya.
Tambah beliau, interaksi secara langsung bersama komuniti Orang Asli memberi pengalaman baharu yang menyedarkan tentang kepentingan nilai kemanusiaan dan semangat kesukarelawanan.
“Kami juga dapat melihat perbezaan dari segi kemudahan dan kehidupan sosial antara Malaysia dan Brunei. Ia memberi inspirasi untuk penambahbaikan di UNISSA. Terima kasih kepada MPP USIM atas sambutan dan kerjasama yang sangat baik,” ujarnya.
Program ini bukan sahaja mencerminkan nilai kepedulian dan empati dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga menjadi medium pengukuhan hubungan dua hala antara institusi pendidikan Islam serantau.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini