MARAN, PAHANG – Seramai 59 pelajar dari Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menjayakan projek komuniti RimbaSoul 2025, satu inisiatif yang menggabungkan pelancongan lestari, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi bersama komuniti setempat di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran.

Projek ini dilaksanakan menerusi pendekatan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan penglibatan aktif dengan komuniti. Pelajar bukan sahaja merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti, malah turut membina hubungan erat dengan penduduk tempatan melalui program yang menumpukan kepada pendidikan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti.

Kemuncak program berlangsung pada 14 Jun 2025 melalui penglibatan bersama komuniti dan agensi berkepentingan dalam mempromosi Taman Eko Rimba Lubuk Yu sebagai destinasi eko-pelancongan yang berpotensi tinggi.

Sepanjang program, pelajar turut melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pameran teknik asas ekspedisi hutan, cabaran explorace bersama komuniti, video pemasaran pelancongan bagi kawasan Maran, pendokumentasian flora dan fauna melalui pembangunan buku digital eko-pelancongan serta pemasangan kod QR maklumat pelancongan untuk kemudahan pengunjung di Taman Eko Rimba Lubuk Yu.

Menurut Amirul, Pengarah Projek, pengalaman bekerja secara langsung dengan komuniti memberikan peluang kepada pelajar untuk menerapkan pengetahuan akademik dalam konteks sebenar, sambil memupuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan.

Program ini turut menerima sokongan pelbagai pihak termasuk wakil kepada Yang Hormat Dato’ Khairun Nissa binti Aris, Pegawai Daerah Maran; Perbadanan Taman Negeri Pahang; Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang; Majlis Daerah Maran; wakil daripada Dun Chenor; Penghulu Mukim Chenor; HUGS Project; dan Embrace Malaysia. Program ini juga mendapat beberapa tajaan daripada agensi kerajan, Syarikat tempatan dan NGO terlibat seperti Tourism Malaysia (Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026), Embrace Malaysia, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, Jerai Strawberry Farm, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, USIM, dan Ribhan World Sdn Bhd.

RimbaSoul 2025 merupakan manifestasi bagaimana pelajar universiti boleh berperanan sebagai agen perubahan yang menyumbang secara langsung kepada pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan komuniti. Inisiatif ini diharap dapat dijadikan model pelancongan komuniti lestari yang menyatukan nilai ilmu, kesedaran dan tanggungjawab sosial.

 

Oleh: Hazim Waqiuddin