NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited dalam membudayakan kecemerlangan penyelidikan, inovasi dan komunikasi ilmu melalui penganjuran 2026 Three Minute Thesis (3MT) National Level Competition yang berlangsung secara hybrid di Dewan Kuliah Pusat 3 pada 8 Julai 2026 semalam.

Penganjuran pertandingan berprestij peringkat kebangsaan ini mencerminkan komitmen USIM dalam menyediakan platform strategik kepada pelajar pascasiswazah untuk mengetengahkan hasil penyelidikan secara ringkas, berkesan dan mudah difahami oleh masyarakat, selaras dengan aspirasi Integrasi Ilmu yang menjadi teras universiti.

USIM menerusi Pusat Pengurusan Akademik (PPA) telah diberi kepercayaan oleh Majlis Dekan Pengajian Siswazah IPTA (MDPS) sebagai Penganjur Utama, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) bertindak sebagai Penganjur Bersama. Pertandingan ini dilaksanakan secara hibrid, dengan peringkat saringan dijalankan melalui penilaian video pembentangan, manakala pertandingan akhir berlangsung secara bersemuka di Dewan Kuliah Pusat 3 (DKP 3), USIM.

Majlis pertandingan akhir turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM; Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM; serta Prof. Dr. Azlan Abdul Aziz, Pengerusi MDPS. Pertandingan akhir ini juga disiarkan secara langsung menerusi USIMTV bagi memperluas akses tontonan kepada warga universiti dan masyarakat umum.

3MT merupakan pertandingan yang memberi ruang kepada pelajar pascasiswazah mempersembahkan tesis penyelidikan mereka dalam tempoh tiga minit kepada khalayak daripada pelbagai latar belakang. Platform ini bukan sahaja mengasah kemahiran komunikasi penyelidikan, malah memperkukuh budaya kecemerlangan akademik serta jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi awam di Malaysia.

Bagi edisi 2026, seramai 68 peserta daripada universiti awam seluruh negara mengambil bahagian. Selepas melalui proses penilaian yang teliti dan kompetitif, 10 finalis terbaik dipilih untuk berentap di peringkat akhir dalam dua kategori utama, iaitu Sains, Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Sosial.

Berdasarkan penilaian juri, Nur Nabilah Zulkifly dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai juara Kategori Sains, Kejuruteraan dan Teknologi, diikuti Nur Shahirah Shaharudin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) di tempat kedua dan Muhammad Amirul Adli dari UiTM di tempat ketiga.

Bagi Kategori Sains Sosial, Nur Izzah Osman dari UiTM berjaya merangkul tempat pertama, diikuti Noor Wazikhaz Madia Wazi dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di tempat kedua dan Nor Asyiqin Zohkarnain dari UKM di tempat ketiga. Nur Izzah turut memenangi People’s Choice Award hasil keupayaannya menyampaikan penyelidikan secara berkesan serta menarik sokongan penonton.

Penganjuran 3MT Kebangsaan 2026 ini memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti yang komited dalam memperkasa penyelidikan berimpak, membangunkan bakat pascasiswazah dan mengangkat komunikasi ilmu sebagai jambatan penting antara dunia akademik dengan masyarakat.