QATAR, 2 Feb 2017 – Memorandum Perjanjian (MoA) dimeterai oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Antarabangsa Pengembangan Bahasa Arab (WORAL) yang juga ahli kepada Qatar Foundation susulan lawatan kerja oleh YB Dr Ali Ahmad Qubaisi ke USIM pada 30-31 Mei 2016 lalu memperlihatkan kecaknaan negara Qatar kepada Malaysia agar Bahasa Arab digunapakai oleh masyarakat Muslim.

Kerjasama telah ditandatangani oleh Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Musa Ahmad dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WORAL adalah bertujuan untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Arab di negara Asia dengan penawaran program pendidikan dan budaya di seluruh dunia.

“Dalam usahasama ini USIM membawa hasrat penubuhan ruknu arabi (Arab Language Corner) yang dilihat berpotensi menjadi platform untuk meningkatkan dan menyebarkan pengetahuan Bahasa Arab secara langsung menyumbang perkembangan Bahasa Arab terutama kepada negara bukan penutur asli bahasa Arab seperti Asia Tenggara,” ucap Dato’ Musa Ahmad dalam ucapannya.

Menurutnya lagi, pusat ini sebagai wadah penyebaran dan perkongsian informasi mengenai rujukan, penyelidikan, siri penerbitan, jurnal dan apa-apa penerbitan Bahasa Arab bagi faedah bersama. Malah USIM menghargai penghormatan kerjasama yang diberikan serta cuba memanfaatkan peluang yang tersedia.

“Ianya dilihat bakal memberi impak positif dalam perkembangan Bahasa Arab yang boleh memberi manfaat kepada dunia Islam. Secara tidak langsung, mengukuhkan lagi hubungan antara USIM dan WORAL dan hubungan Malaysia dan Qatar,” tambahnya.

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204